
SELANGAU: Menteri Digital, Gobind Singh Deo, mengadakan lawatan rasmi ke rumah panjang milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, sempena sambutan Hari Gawai Dayak pada 31 Mei lalu.
Gobind diiringi Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong bersama isteri, Datin Leyta Kupa.
Berucap pada sambutan tersebut, Gobind melahirkan rasa kagum terhadap kemeriahan sambutan Hari Gawai serta kekayaan budaya masyarakat Iban yang penuh nilai santun dan warisan turun-temurun.
“Saya amat teruja dan terharu menyaksikan sambutan Hari Gawai yang begitu meriah dan bersemangat.
Budaya masyarakat Iban sangat kaya dengan nilai murni dan identiti tersendiri.
“Ini adalah warisan yang harus kita pelihara bersama sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Sebagai tanda sokongan kepada masyarakat setempat, Gobind mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM20,000.
Wilson Ugak turut menyumbang RM10,000 bagi menyokong program pembangunan komuniti dan aktiviti kebudayaan di rumah panjang tersebut.
Hari Gawai merupakan perayaan penting bagi masyarakat Dayak, khususnya kaum Iban, yang diraikan sebagai tanda kesyukuran selepas musim menuai serta menandakan permulaan tahun baharu dalam kalendar tradisional mereka.
Lawatan tersebut bertujuan memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan komuniti tempatan, di samping meraikan keunikan adat dan budaya kaum Iban dalam suasana penuh warna-warni.
Selain itu, ia turut mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menyantuni kepelbagaian budaya di seluruh negara, selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai keterangkuman, hormat dan keharmonian antara kaum.
Oleh Tarani Lanting