
SARATOK: Penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) setiap tahun jelas mencerminkan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkukuh pembangunan masyarakat menerusi sokongan kepada pelbagai organisasi tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata melalui peruntukan yang disalurkan itu diharapkan ia boleh digunakan secara berhemah bagi menampung keperluan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, kampung dan masjid serta surau bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberikan impak positif kepada penduduk.
“Ini menjadi bukti jelas kerajaan Sarawak di bawah GPS benar-benar komited bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara inklusif.
“Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan MRP setiap tahun agar dapat menganjur aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat dan ia tidak harus disalah guna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian geran MRP kepada kepada 39 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka yang melibatkan JKKK kampung, JKKK rumah panjang, masjid dan surau serta beberapa persatuan di sini pagi tadi.
Mohamad Duri berkata berkata kerajaan sememangnya memahami keperluan rakyat untuk mengadakan pelbagai program atau aktiviti kemasyarakatan.
“Tidak kira berapa jumlah yang diterima, apa yang penting ialah kerajaan dapat meringankan sedikit beban kewangan mereka untuk menganjurkan aktiviti demi kepentingan masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sepatutnya geran yang telah disalurkan wakil rakyat itu digunakan untuk pembangunan serta melaksana pelbagai program bukannya untuk kepentingan peribadi JKKK atau pertubuhan terlibat.
“Justeru, kami selaku wakil rakyat tidak mahu melihat JKKK serta persatuan atau pertubuhan membahagi geran yang disalur kepada tabung organisasi terbabit untuk kepentingan peribadi. Gunakan ia untuk pembangunan serta mengadakan pelbagai aktiviti,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Mohamad Duri turut memberi makluman status terkini mengenai projek pembangunan bagi kawasan DUN Kalaka.
“Ia termasuk kelulusan bagi pembinaan jalan dari Senyawan dan jambatan menyeberangi Sungai Awik dan kelulusan daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) berkaitan pembinaan jambatan di Tanjung Kalimah, Pagan menyeberangi Sungai Krian,” katanya.
Oleh Adi Saparman