
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) telah menjadi organisasi yang komited dalam membangunkan masyarakat melalui komunikasi partisipatif.
Pengerusi AZAM Sarawak, Datu William Patrick Nyigor berkata, segala usaha tidak akan sampai kepada rakyat tanpa peranan penting media sebagai penyampai.
“Kami amat menghargai peranan media bukan hanya sebagai pemberita, tetapi sebagai rakan dalam membentuk pemahaman masyarakat terhadap dasar pembangunan negeri,” ujarnya pada majlis AZAM Ramadan: Iftar Bersama Media 2025 di sebuah hotel di sini semalam.
Katanya, AZAM Sarawak menekankan kepentingan media sebagai rakan strategik utama dalam komunikasi pembangunan negeri.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan penglibatan lebih ramai pengamal media dalam AZAM Sarawak sebagai peluang menyumbang secara langsung dalam usaha pembangunan negeri.
Sebagai tanda penghargaan kepada rakan-rakan media atas sokongan berterusan mereka, AZAM Sarawak telah menganjurkan majlis iftar.
Majlis dihadiri lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi seperti TV3, RTM, TVS, Suara Sarawak dan The Star.
Majlis ini turut disertai oleh rakan strategik termasuk Jabatan Penerangan Malaysia, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan RTM, yang sentiasa menjadi rakan kolaborasi AZAM dalam menyebarkan maklumat pembangunan negeri kepada masyarakat.
Selain itu, majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran anggota AZAM Young Souls, ahli AZAM Toastmasters Club, serta Ahli Lembaga Pengarah (BOD) AZAM Sarawak, yang turut menyokong usaha memperkasa pembangunan belia dan komuniti.
Majlis ini juga merupakan sebahagian daripada kempen ‘A Month of Progress’, yang menekankan kepentingan Ramadan sebagai masa untuk meningkatkan pembangunan diri, memperkukuh nilai kebersamaan, serta memperkasa komuniti melalui program sosial dan kemasyarakatan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, (Operasi), Datu Hii Chang Kee. – UKAS