
SIMUNJAN: Komeng Sri berjaya menawan Sungai Batang Sadong apabila dinobatkan ‘Raja Sungai’ Regata Simunjan sekali gus mengungguli acara kemuncak pesta dwitahunan yang berprestij itu.
Pasukan tersebut menampilkan kehebatan luar biasa dalam acara utama Bidar 30 Pekayuh Lelaki, menewaskan lapan pencabar handalan lain dalam perlumbaan penuh debaran yang disaksikan ribuan penonton.
Kemenangan itu melayakkan Komeng Sri Berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 bersama trofi kejuaraan.

Menariknya, pasukan Landas Azam Kasihnya Warisan turut cemerlang apabila berjaya meraih tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima RM10,000 dan RM6,000 beserta trofi.
Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris pada Ahad.
Sebanyak 19 pasukan telah mengambil bahagian dalam enam kategori yang dipertandingkan dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM75,500.
Pesta Simunjan 2025 yang bermula sejak 26 September lalu telah menampilkan pelbagai acara menarik meliputi sukan, kebudayaan, hiburan serta aktiviti komuniti yang berjaya menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah.
Malam ini pula menyaksikan Majlis Penutupan Rasmi Pesta Simunjan 2025 yang akan berlangsung di Padang Sentral Simunjan, menandakan berakhirnya pesta rakyat terbesar daerah itu yang telah berlangsung dengan penuh meriah sejak lebih seminggu lalu.
-UKAS