KUCHING: Kolej Universiti i-CATS bersama lima institusi pendidikan awal kanak-kanak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai usaha mencapai sasaran melahirkan pendidik berkualiti dalam pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.
Lima institusi tersebut ialah SeDidik, Tadika Intan Syuhada, Taska Pondok Ilmu, Taska Cahaya Horizons dan Taska Cilik Cemerlang.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, usaha itu bertepatan dengan seruan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) untuk melahirkan pendidik yang memiliki pengalaman praktikal dalam mengendalikan keperluan kanak-kanak.
“Selain mempelajari teori, para pelajar perlu didedahkan dengan pengalaman sebenar (menerusi latihan industri dan latihan amali) dalam menguruskan keperluan kanak-kanak sebelum mereka bekerja sebagai pendidik yang sebenar.
”Justeru, para pelajar dapat menimba pengalaman dan pengetahuan daripada pihak institusi ini kelak pada masa sama pihak institusi juga boleh mendapat pengetahuan terkini daripada para pelajar.
”Kerjasama dengan pusat-pusat penjagaan kanak-kanak dan tadika akan memberikan pelajar peluang praktikal yang bermakna, membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam situasi sebenar dan memperoleh pengalaman praktikal yang berharga dalam mengurus dan mendidik kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU Kolej Universiti i-CATS bersama SeDidik dan Pengusaha Taska dan Tadika di Kolej Universiti i-CATS di sini, hari ini.
Menurut Fatimah lagi, pemilihan institusi pendidikan awal kanak-kanak itu juga adalah bertepatan di mana semua institusi berkenaan dikendalikan oleh pengusaha yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan mendalam dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
”Pusat-pusat penjagaan dan tadika yang dipilih telah menunjukkan keunggulan mereka dalam menyediakan persekitaran yang selamat untuk pendidikan kanak-kanak.
”Misalnya, SeDidik telah mengendalikan rangkaian 100 pusat yang terdiri daripada 80 tadika dan 20 pusat taska termasuk lima tadika di Tutoh Apoh (kawasan komuniti Penan).
”Kami mempunyai seramai 153 guru di SeDidik dengan 93.46 peratus (143 guru) akan memiliki sekurang-kurangnya diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada penghujung tahun ini dan mereka adalah guru yang berkelayakan untuk membimbing pelajar kelak,” ujarnya.
Turut hadir, Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS Profesor Dr. Shahren Ahmad Zaidi Adruce, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri serta wakil-wakil dari SeDidik, tadika dan swasta yang berkenaan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA