
KUCHING: Kolej Universiti i-CATS menggesa orang ramai untuk mengunjungi reruainya pada pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2025 yang akan berlangsung pada 5 hingga 6 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pameran yang dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu menghimpunkan pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi pembangunan belia dan organisasi berkaitan halatuju kerjaya di Sarawak.
i-CATS akan menampilkan pelbagai inisiatif menarik yang disasarkan kepada lepasan SPM, STPM, pelajar TVET, ibu bapa, guru dan mana-mana individu yang sedang mencari arah baharu dalam pendidikan tinggi serta kerjaya.
Antara tumpuan utama reruai i-CATS termasuklah sesi konsultasi percuma, maklumat program akademik dan teknikal, pilihan hala tuju kerjaya, serta pelbagai inisiatif sokongan kewangan.
Ini merangkumi inisiatif pendidikan percuma, bantuan kewangan khas, Skim Sewa Sarawak (SRAS), tawaran biasiswa, penajaan, pinjaman pendidikan dan kaedah sokongan bayaran balik.
Kolej Universiti i-CATS terus komited dalam melahirkan graduan yang bersedia untuk memenuhi kehendak industri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan
Penyertaan dalam pameran SCaT 2025 merupakan salah satu usaha untuk mendekati masyarakat, memberi inspirasi kepada golongan muda, dan memperkenalkan peluang pendidikan yang ditawarkan.
Orang ramai dijemput hadir ke pameran SCaT 2025 yang dibuka dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.icats.edu.my atau ikuti i-CATS di Facebook dan Instagram melalui akaun @icatsuniversitycollege.