
KUALA LUMPUR: Kolej Universiti i-CATS melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kualiti Dalaman (IQA) Terbaik bagi kategori Kolej Universiti di Anugerah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2025.
Pengiktirafan berprestij peringkat kebangsaan itu menjadi bukti komitmen tidak berbelah bahagi institusi tersebut dalam mengekalkan kualiti akademik, integriti, serta budaya penambahbaikan berterusan.
Ia turut mencerminkan kekuatan tadbir urus, rangka kerja jaminan kualiti yang mantap, dan dedikasi berterusan terhadap kecemerlangan pendidikan.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Naib Canselor, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi pada majlis gilang-gemilang yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis tersebut berlangsung di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre.
Dalam ucapannya, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim berkata, kejayaan ini adalah hasil dedikasi, profesionalisme dan komitmen seluruh warga akademik dan pentadbiran, selain penglibatan aktif pelajar.

“Bagi kami di i-CATS, Jaminan Kualiti Akademik bukan sekadar keperluan operasi, tetapi tiang strategik yang menjadi asas tadbir urus, memandu keputusan akademik, dan menggerakkan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan,” katanya dalam sebuah kenyataan, semalam.
Anugerah MQA yang dianjurkan setiap tahun memberi penghargaan kepada pencapaian cemerlang dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi, meliputi kategori universiti, kolej universiti dan kolej.
Kategori IQA khusus mengiktiraf institusi yang memiliki mekanisme dalaman terbaik dalam memastikan dan meningkatkan kualiti akademik.
Kolej Universiti i-CATS merupakan institusi pendidikan tinggi swasta milik penuh kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan Sarawak Skills.
Berteraskan misinya untuk memacu pembangunan sosioekonomi negeri, i-CATS menawarkan program berorientasikan industri bagi melahirkan graduan bersedia menghadapi cabaran global.
Pendekatan pengajaran yang inovatif, pengalaman praktikal, serta kerjasama kukuh dengan industri menjadi tonggak melahirkan profesional masa depan.
Bagi i-CATS, kejayaan ini bukan sekadar trofi, tetapi penegasan semula tekad untuk terus ‘Inspiring Minds, Shaping Futures’ memimpin dengan kualiti, menginspirasi dengan visi, dan memberi impak kepada masyarakat.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.