KUCHING: Kolej Sidma Sarawak hari ini meneruskan tradisi tahunan sempena Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 600 paket bubur lambuk kepada orang awam.
Menurut Pengurus Kolej Sidma Sarawak Marzuki Umi, penganjuran pengagihan di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) ini bagi berkongsi rezeki sempena Ramadan nescaya dapat mengeratkan hubungan sesama insan.
“Ia merupakan program tahunan menjelang Ramadan bagi Kolej SIDMA Sarawak.
“Menariknya, kita mengadakan program pengagihan bubur ini dengan kerap sepanjang Ramadan. Malah, jika menerima rezeki lebih, kita adakan setiap hari.
“Tahun ini, kami menjalankan program ini dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS).
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebelum memulakan Pengagihan Bubur Lambuk Sempena Program Ihya Ramadan 2023 di Kolej Sidma di sini, hari ini.
Menurut Jumiah Matino yang juga pengarah projek berkenaan tahun ini, selain pengagihan bubur lambuk, program susulan turut dilaksanakan oleh Kolej Sidma.
Antaranya, termasuk kutipan infaq oleh jabatan HEP Sidma bertujuan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk berupa barangan keperluan asas dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan.
“Sebelum ini, kita berjaya mengagihkan bantuan berupa keperluan asas seperti beras, gula, garam dan lain-lain kepada 60 penerima.
“Kita mengagihkan barangan tersebut kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
“Kami mendapatkan nama penerima dengan bantuan Baitulmal Sarawak.
“Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk mengagihkan bilangan yang sama atau lebih daripada 60 penerima, sebagai usaha meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya .
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sidma Nandy Marlina Saar dan Pengarah Kewangan Kolej Sidma Hanizah Mohidin.
Oleh Shahrul Qaizat