
KUCHING: Kolej Komuniti Kuching terus membuktikan komitmen dalam menyediakan pendidikan inklusif apabila melaksanakan Program Pemantapan Asas Jahitan Kreatif khusus untuk pelajar Sijil Khas Jahitan Kreatif (KJT) yang bertempat di Pusat Kraftangan Epal, Electra House di sini, semalam.
Menurut Ketua Program KJT, Gracienthy Goen, 34, program itu dilaksanakan selaras dengan subjek KJT20074 Produk Hiasan Dalaman yang memberi penekanan terhadap penguasaan kemahiran asas jahitan dan penghasilan produk berasaskan kreativiti.

“Program ini diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajarberkeperluan khas, khususnya mereka yang mempunyai masalah pembelajaran Ketidakupayaan Pembelajaran (LD), untuk mengasah bakat seni yang dimiliki.
“Justeru dengan itu, melalui pendekatan amali, pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal dalambidang jahitan, malah turut dibimbing dari aspek kepimpinan, disiplin, pengurusan serta persediaan ke alam pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, usaha berterusan tersebut adalah manifestasi keprihatinan institusi dalam membantu kecemerlangan pelajar.
“Oleh yang demikian, setiap pelajar mempunyai bakat dan potensi tersendiri dan tugas kami adalah memberi ruang dan peluang untuk mereka menyerlah.

“Impak pelaksanaan bengkel ini dapat dilihat dari beberapa sudut iaitu pertama, ia membantu meningkatkan potensi diri pelajar berkeperluan khas dari aspek fizikal dan kognitif.
“Kedua, ia memberi pendedahan berkaitan nilai kepimpinanserta disiplin yang amat penting dalam dunia pekerjaan dan ketiga ianya menonjolkan kreativiti pelajar berkeperluan khas dalam melahirkan produk jahitan yang mampu bersaing seiring dengan cabaran globalisasi masa kini,” jelasnya.
Melalui program itu, Kolej Komuniti Kuching yakin pelajar berkeperluan khas bukan sahaja mampu berdikari, malah berupaya mencipta masa depan yang lebih cerah dengan berbekalkan kemahiran dan keyakinan diri yang dipupuk sepanjang pengajian.
Terdahulu Gracienthy Goen telah menghadiri Program Pentauliahan Profesional dalam bidang PDP Pelajar Khas (Masalah Pembelajaran) di Universiti Sultan Idris (UPSI) Perak.
Hadir sama tenaga pengajar Pusat Kraftangan Epal, Nurul Shazleen Subuhi dan pensyarah Kolej Komuniti Kuching, Nor Syarquella Ernie Khalid.