




KUMPULAN Koleh Buskers, yang terdiri daripada murid Orang Asli suku Jakun, telah membuat persembahan pada Majlis Perasmian Penutup Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti serta Town Hall PIBKS/PIBG Peringkat Daerah Kota Tinggi 2025 di Kolej Vokasional Kota Tinggi baru-baru ini. Koleh Buskers berjaya meraih tempat kedua dalam Malaysia Ukulele Song Competition (MUSC) 2024 dan menempatkan diri di tangga kelima tahun ini, daripada 20 sekolah yang bertanding. Foto BERNAMA
ALUNAN lembut ukulele, alat muzik seakan gitar yang sinonim dengan pantai Hawaii, kini umpama umpan yang berjaya menarik murid Orang Asli suku Jakun di pedalaman Johor ini datang ke sekolah.
Segalanya bermula pada 2020, apabila Mastra Irfa Nasrun, 32, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang menubuhkan Koleh Buskers, sebuah kelab ukelele yang kini mempunyai 24 ahli dengan 11 daripadanya murid SK Sayong Pinang sendiri dan 13 lagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Linggiu.
Walaupun tiada latar belakang muzik, guru Pendidikan Jasmani itu nekad memanfaatkan minatnya dalam bidang berkenaan untuk mengajar dengan cara tersendiri, hanya menggunakan kod asas seperti C, G, A dan F bagi menggantikan pembacaan notasi, sekali gus memudahkan lagi murid menguasai sesebuah lagu.
“Saya bukan guru muzik, tapi saya minat menyanyi dan kagum bila lihat orang boleh main alat muzik. Jadi saya belajar asas muzik sejak kecil dan kini modul saya ajar berdasarkan kod asas sahaja, ” katanya ketika ditemui Bernama di SK Sayong Pinang, sebuah sekolah Orang Asli di sini.
Katanya kaedah ringkas itu ternyata berkesan apabila kini murid-murid mampu memainkan pelbagai lagu rakyat dan moden, malah berjaya menempatkan diri di tangga kedua Malaysia Ukulele Song Competition (MUSC) 2024 dan kelima tahun ini, daripada 20 sekolah yang bertanding.

GURU muzik, Mastra Irfa Nasrun (tengah), bergambar bersama muridnya yang juga ahli kumpulan Koleh Buskers di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang. Koleh Buskers berjaya meraih tempat kedua dalam Malaysia Ukulele Song Competition (MUSC) 2024 serta menduduki tempat kelima keseluruhan tahun ini daripada 20 sekolah yang bertanding. Foto BERNAMA
Bagaimanapun baginya kelab ukulele itu lebih daripada sekadar muzik, kerana menerusi kelab tersebut beliau bangga melihat perubahan sikap dan semangat murid yang semakin rajin menghadiri sekolah, selain kebolehkan mereka untuk lebih cepat belajar dalam sesuatu subjek.
“Apa yang saya nampak, sejak ada aktiviti muzik di SK Sayong Pinang, murid-murid jadi lebih teruja untuk datang ke sekolah bukan semata-mata kerana muzik, tapi kerana ia menjadikan mereka rasa seronok untuk berada di sekolah,” katanya yang turut mendapat sokongan penggiat seni Orang Asli, Alias Awang.
Wanita asal Rompin, Pahang ini berkata ramai pelajar pada awalnya datang hanya untuk berlatih bermain ukulele namun tanpa disedari latihan muzik itu menjadi pintu masuk kepada perubahan sikap mereka terhadap pembelajaran.
“Bila mereka hadir untuk muzik, mereka akan kekal di sekolah. Dari situ mereka belajar lebih daripada sekadar muzik, mereka belajar disiplin, fokus dan semangat bekerjasama. Lama-kelamaan kehadiran pun bertambah baik,” katanya yang mengajar di situ sejak 2018.
Walaupun berdepan kekangan dana pada awal penubuhan akibat kos alat muzik yang tinggi, Masrah tidak patah semangat, dan kini kelab yang diasaskannya bukan sahaja memiliki 23 ukulele hasil sumbangan pelbagai pihak, malah menerima banyak undangan untuk membuat persembahan.

GURU muzik, Mastra Irfa Nasrun (tengah), sedang mengajar muridnya bermain muzik menggunakan ukulele sebagai alat utama di Sekolah Kebangsaan (SK) Sayong Pinang. Koleh Buskers berjaya meraih tempat kedua dalam Malaysia Ukulele Song Competition (MUSC) 2024 dan menempatkan diri di tangga kelima tahun ini, daripada 20 sekolah yang bertanding. Foto ERNAMA
Menyasarkan kejuaraan MUSC, beliau kini memfokuskan elemen keunikan Orang Asli, selain berkolaborasi dengan SMK Linggiu bagi memastikan murid sekolah rendah yang melanjutkan pelajaran di sekolah menengah itu kekal aktif bermain alat muzik berkenaan.
“Pelajar SMK Linggu yang bermain ukulele ini merupakan murid yang saja ajar ketika mereka di SK Sayong Pinang lagi sebab itu hingga sekarang saya masih membantu SMK Linggiu menyelaras dan melatih mereka untuk persembahan,” katanya.
Sementara itu, Fiona Maylyana Azman, 15, yang menyertai kelab ukulele sejak di bangku sekolah rendah, berkata pengalaman menyertai pertandingan seperti MUSC banyak mengajarnya tentang disiplin dan semangat berpasukan.
“Dulu saya pemalu dan takut nak naik pentas. Tapi bila selalu berlatih dan buat persembahan, saya dah biasa. Sekarang saya berani main depan orang ramai,” katanya yang kini menjadi antara pemain utama kumpulan Koleh Buskers.- Bernama