
KUCHING: Projek kolam takungan di Lorong Desa Wira 7 di bawah Fasa Pertama Program Tebatan Banjir Batu Kawah telah siap sepenuhnya, sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha jangka panjang kerajaan Sarawak mengurangkan risiko banjir di Desa Wira dan kawasan sekitarnya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, projek bernilai RM14.5 juta itu dibina bagi menakung sementara air hujan dalam kuantiti yang besar ketika hujan lebat apabila sistem perparitan sedia ada tidak mampu mengalirkan air dengan cepat.
Menurutnya, kolam takungan seluas kira-kira 1.4 hektar itu mampu menyimpan sekitar 40,000 meter padu air, bersamaan kira-kira 12,000 lori tangki air.
“Ketika hujan lebat, kolam ini akan menyimpan lebihan air sebelum dilepaskan secara berperingkat ke sistem tebatan banjir Fasa Kedua Desa Wira yang sedang dibina sebelum dipam ke Sungai Maong apabila paras air kembali surut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata, projek itu turut merangkumi pembinaan saluran konkrit bertetulang sepanjang 2.5 kilometer, laluan pejalan kaki, pemasangan pagar keselamatan, kerja menaik taraf kawasan sekitar kolam takungan serta penambahbaikan sistem perparitan dalaman.
Tambah beliau, apabila tidak digunakan untuk menakung air hujan, kawasan itu boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat sebagai padang rekreasi untuk aktiviti seperti bola sepak dan program komuniti.
Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan projek itu, selain berterima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, kontraktor serta penduduk berhampiran yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh pembinaan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM36.6 juta bagi pelaksanaan fasa kedua projek tebatan banjir Desa Wira yang sedang dibina.
Selain itu, katanya, sebanyak RM63.88 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem perparitan termasuk pembinaan dua kolam takungan di tapak seluas tujuh ekar di hadapan Batu Kawah New Township dan berhampiran Pusat Komersial Pine Square bagi memperkukuh kapasiti tebatan banjir di kawasan berkenaan.
Dr Sim berkata, penyelesaian isu banjir memerlukan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan naik taraf sistem perparitan, malah pembinaan kolam takungan sebagai langkah mampan untuk mengurangkan risiko banjir.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM2.4 bilion bagi pembinaan terusan lencongan banjir sepanjang lapan kilometer dari Batu Kawah ke Sungai Salak yang dijangka dilaksanakan secara berfasa bermula tahun depan bagi mengurangkan risiko banjir di Kuching dan kawasan sekitarnya.
Oleh Afiq Sallehi