
KUCHING: Edisi ke-37 Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM) berlangsung di parkir berbumbung MBKS pagi ini dari 7.30 hingga 11.00 pagi dengan kehadiran Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut.

KNFM dianjurkan secara berkala bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat serta menggalakkan sokongan masyarakat terhadap produk tempatan, sekali gus menjadi tarikan hujung minggu dengan pelbagai hasil tani segar, makanan berasaskan pertanian dan produk mesra alam daripada usahawan tempatan.
Antara peniaga yang menyertai edisi kali ini termasuklah Mohd Khushruddin Jhinku, 38, yang menjual pelbagai jenis bunga hiasan.
Beliau menyertai KNFM secara tetap setiap bulan dan menganggap pasar tersebut sebagai sumber pendapatan utama.
“Saya memang minat tanam bunga, ini kerja sepenuh masa saya. Di sini, pelanggan memang ada tiap-tiap bulan, ramai yang cari bunga. Memang ada pelanggan tetap.
“Cabaran utama adalah kehadiran pengunjung yang menurun jika hujan, serta kurangnya pendedahan kepada masyarakat luar komuniti setempat.

Yong Pei Ling, 46, pula telah setahun lebih menjual ‘sour dough’ semula jadi yang dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan organik sepenuhnya.
“Saya datang setiap minggu pertama dan ketiga. Pelanggan sekarang lebih peka soal kesihatan. Mereka mahu ‘sour dough’ yang betul semula jadi.
“Saya sentiasa terangkan kepada pelanggan kenapa produk saya lain daripada yang lain. Tapi saya tetap gembira, kerana pelanggan makin faham dan hargai produk sihat,” jelasnya.
Sementara itu, Wee Siew Hong, 38, dari Asajaya menawarkan minyak pati serai yang merupakan produk semula jadi tanpa bahan kimia.
“Walaupun jumlah pengunjung tidak seramai pasar konvensional, saya menghargai peluang berkongsi ilmu dengan penjual lain dan memperkenalkan produk organik kepada masyarakat.

Bagi Bybiana Michael, 59, Beliau memilih KNFM kerana waktu pasar yang fleksibel serta peluang bertemu rakan-rakan usahawan dan pelanggan tetap yang sering memperkenalkan pasaran ini kepada orang baharu.
“Antara perkara paling menarik ialah interaksi mesra dengan pelanggan dan penjual lain, yang turut membantu menyebarkan maklumat mengenai pasar ini kepada komuniti luar.
“Cabaran utama yang dihadapi adalah hujan, yang menyebabkan kehadiran pengunjung berkurangan. Namun begitu, saya berpuas hati dengan segala kemudahan dan pengurusan yang disediakan oleh penganjur.
Bagi Johnson Kueh, 51, keistimewaan KNFM ialah masa yang sangat fleksibel dan berpeluang untuk bertemu ramai rakan baharu.
“Terdapat juga ramai pelanggan yang datang, dan itu menjadikan suasana di sini sangat meriah.


BYBIANA Michael, 59 (kiri) dan Johnson Kueh, 51 (kanan).
“Bahagian terbaik berniaga di sini ialah dapat berinteraksi dengan pelanggan, yang kemudiannya membawa rakan-rakan mereka dan memperkenalkan pasar ini kepada orang luar, sekali gus membantu menyebarkan maklumat dan mempromosikan pasar ini kepada lebih ramai,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah



ANTARA produk dan bunga yang dijual di Pasar Tani Semula Jadi Kuching (KNFM).