
KUCHING: Kuching Natural Farmers’ Market (KNFM) yang berlangsung bersempena sambutan Hari Alam Sekitar 2025 anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Kuching, khususnya mereka yang mengamalkan gaya hidup sihat dan mesra alam.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, KNFM merupakan platform unik yang menampilkan hasil pertanian dan produk kraftangan tempatan yang dihasilkan secara semula jadi tanpa sebarang penggunaan baja kimia atau racun perosak.

“KNMF ini menjadi tarikan utama kepada pengguna berkesedaran tinggi terhadap kesihatan dan kelestarian yang juga bersemangat menyokong pengusaha tempatan,” katanya semasa berucap sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2025 di Dewan Masyarakat MBKS, hari ini.
Menurut beliau, MBKS telah mula menyokong penganjuran KNMF berkenaan sejak tahun 2024 dan kini ia diadakan secara berkala pada Sabtu, minggu pertama dan ketiga setiap bulan di perkarangan Dewan Masyarakat MBKS, sekali gus memberi ruang kepada petani dan usahawan tempatan memasarkan produk mereka secara langsung kepada pengguna.

Inisiatif ini turut disifatkan sebagai selari dengan matlamat bandar raya hijau dan mampan yang digariskan dalam pelan pembangunan MBKS.

Menurut Wee lagi, KNMF bukan sahaja memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan segar dan bebas bahan kimia, malah turut memperkukuh semangat komuniti dan jaringan ekonomi setempat yang lebih inklusif serta lestari.
Oleh Amanda L.