
KUCHING: Kaban Music Production (KMP) Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan bahawa syarikat akan mengeluarkan tiga lagu baharu pada awal 2026.
Projek tersebut disokong oleh Kementerian Komunikasi dan MyCreative Venture Sdn Bhd melalui Dana Kebolehpasaran Domestik 2.0.
Menurut Pengarah Kaban Music Production (KMP) Sdn Bhd, Gibson Richard, dana kandungan kreatif untuk industri muzik ini telah diluluskan pada pertengahan 2024.

“Projek yang bermula pada 1 Oktober 2024 dijangka akan selesai pada 31 Disember 2025 dikenali sebagai ‘Cinta Dari Borneo ‘ yang menampilkan tiga lagu bergenre balada dengan tema utama ‘Tiga Lagu, Tiga Kisah Cinta, Satu Makna’.
“Tajuk ini dipilih untuk menekankan mesej kasih sayang, cinta, dan kesetiaan yang menjadi inti pati setiap lagu.
“Dua lagu dibawakan oleh penyanyi Iban terkenal, Karen Libau berjudul Meruan Dikesayau dan Beserakup Ati, manakala satu lagu disampaikan oleh penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Veronica Natasha berjudul Siti Pengerindu,” kata Gibson pada ‘Showcase Cinta Dari Borneo’ di Star On Stage di sini, hari ini.

Katanya, objektif penyediaan dana ini adalah untuk membangunkan modal insan yang kompetitif, mewujudkan industri muzik yang berdaya saing bagi menghasilkan impak ekonomi positif, serta membantu tenaga kerja tempatan bangkit semula pascapandemik.
“Sejajar dengan matlamat tersebut, projek ini telah memberi peluang pekerjaan sambilan kepada 31 tenaga kerja dalam pelbagai bidang berkaitan industri muzik.
“Selain itu, projek turut melibatkan empat syarikat kecil tempatan sebagai penyedia perkhidmatan berkaitan pengeluaran muzik dan video, serta dua tempat perniagaan tempatan.
“Kami berharap projek ini bukan sahaja akan memperkaya industri muzik tempatan tetapi juga meningkatkan peluang ekonomi dan kreatif bagi komuniti setempat.

Jelas Karen Libau, dua lagu yang dinyanyikannya dalam projek ini amat bermakna bagi dirinya.
“Lagu Meruan Dikesayau ciptaan Jacxer (Rexca Anak Jamit) menekankan kasih sayang dalam keluarga, di mana ahli keluarga yang merantau tetap menghargai asal-usul mereka dan pulang ke kampung untuk bertemu sanak saudara,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa lagu Beserakup Ati ciptaan Jumpbull Morcdoc pula membawa mesej tentang kesetiaan kepada negara, masyarakat, alam sekitar serta budaya tempatan, yang disampaikan melalui irama balada berunsur etnik Sarawak.
Menurut Veronica Natasha, beliau berasa amat berbangga apabila dipilih untuk terlibat dalam projek ini.
“Ini merupakan kali kedua saya menyertai projek besar seperti ini. Lagu Siti Pengerindu dihasilkan oleh Jonez Mackean mengisahkan cinta dua jiwa dari negeri berlainan yang tetap suci walaupun berjauhan. Saya berharap lagu ini dapat diterima baik oleh para peminat,” ujarnya.
Pada acara tersebut menampilkan persembahan sape oleh William Suntai dan Neggar Bareng. Tidak ketinggalan Olivia C turut menghiburkan penonton dengan persembahan dua lagu bertajuk Dunya Empu Aku dan Aku Ukai Lulung.
Turut hadir, Pengarah Urusan Music Right Sarawak Berhad (MRSB) Juliet Tan.
Oleh Yanti Sham