
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan penting sebagai barisan hadapan kerajaan Sarawak dalam usaha membina negara bangsa, mengekalkan perpaduan dan menjamin kestabilan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata KMKK bukan sahaja pemimpin akar umbi, malah menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan dasar serta maklumat tepat, selain menangani cabaran seperti penyebaran berita palsu.
“KMKK adalah suara rakyat di lapangan dan telinga kerajaan di peringkat komuniti. Mereka menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat dan membawa suara masyarakat ke perhatian kerajaan negeri,” katanya ketika berucap sempena sambutan Ulang Tahun Ke-20 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu, malam tadi.
Dr Sim dalam ucapannya turut menegaskan, semangat perpaduan Sarawak tidak boleh hanya dilihat sebagai slogan, sebaliknya lahir daripada komitmen serta usaha berterusan pemimpin masyarakat seperti KMKK.
“Kestabilan negeri kita hari ini adalah hasil usaha kolektif semua pihak termasuk persatuan seperti PKKMC. Peranan mereka tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Menurut beliau, PKKMC telah memainkan peranan aktif dalam membina kerjasama antara kaum, menyokong dasar kerajaan serta memperkukuh keharmonian sosial khususnya di Bahagian Sibu.
Sementara itu, Pengerusi PKKMC Bahagian Sibu, Datuk Vincent Lau, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kepercayaan masyarakat sepanjang dua dekad kewujudan persatuan tersebut.
Katanya, PKKMC ditubuhkan pada tahun 2005 hasil inisiatif mendiang Temenggong Tan Sri Dato Sri Tai Sing Chii, dengan matlamat menyatukan pemimpin masyarakat Cina di Sibu dan memperkukuh penyelarasan dengan pihak kerajaan.
“Saya telah menyaksikan perjalanan persatuan ini daripada permulaan sederhana ke tahap mantap hari ini. Kepercayaan serta kebergantungan masyarakat terhadap kami semakin kukuh,” jelasnya yang menerajui PKKMC sejak 2009.
Tambah beliau, PKKMC sentiasa berpegang kepada nilai profesionalisme, kecekapan dan perkhidmatan inklusif tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Kami juga telah bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan dalam menyampaikan dasar kerajaan dan menyuarakan keperluan masyarakat,” katanya.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini turut menyaksikan Temenggong Datuk Vincent Lau bersama ahli-ahli jawatankuasa PKKMC sesi 2025-2026 mengangkat sumpah.
Oleh Tarani Lanting