
KUCHING: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) tetap menjalankan amanah dan tugas yang diberikan walaupun sering menerima sindiran dan dicemuh oleh beberapa pihak di sekitarnya.
Penghulu Jajahan Kampung Senari, Gobil dan Sungai Jernang, Ali Amit berkata, kebanyakan KMKK tidak melayan sebarang provokasi yang sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak lebih-lebih lagi melibatkan pembangunan di dalam kampung.
Katanya, tugas KMKK bukan sahaja menentukan projek-projek yang dilaksanakan di kampung menerusi dana yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen dengan lancar dan baik, tetapi ia merangkumi keselamatan penduduk kampung dalam keadaan yang harmoni dan saling bekerjasama antara satu sama lain.
“KMKK adalah jambatan penghubung antara rakyat sesebuah kawasan dengan kerajaan, malah dikatakan sebagai ‘mata dan ‘telinga’ kepada kerajaan.
“Dengan itu, tugas KMKK bukanlah mudah kerana sebagai seorang ketua yang dilantik dalam sesebuah kampung, dia adalah antara orang dipercayai oleh anak-anak kampung selain memiliki karisma kepempinannya tersendiri,” kata Ali ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, baru-baru ini.
Sebelum itu, Dr Juanda menyatakan bahawa ramai KMKK sekarang enggan melepaskan jawatan disebabkan kuasa dan wang.
Malah, tegas beliau terdapat KMKK yang sudah terlalu tua tetapi masih berhasrat mahu menyambung perkhidmatan walaupun keupayaannya agak terbatas untuk menjalankan tanggungjawab.
“Saya mendapati ramai yang tidak mahu melepaskan jawatan apabila kita mahu menamatkan tempoh perkhidmatan mereka disebabkan kuasa dan wang yang merosakkan integriti mereka.
“Ada antara mereka ini mempunyai ‘kuasa’ tertentu contohnya ke atas tanah-tanah yang mana mereka boleh menandatangani pengesahan hak milik tanah di pejabat berkaitan yang kadang-kadang menimbulkan pertikaian di kalangan penduduknya,” kata Dr Juanda semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKN) Tahap 3 yang berlangsung di Sibu, baru-baru ini.
Sementara itu, Ali menambah tanggungjawab sebagai KMKK bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan semata-mata tetapi ia terlebih dahulu ditapis di pelbagai peringkat atasan.
“Proses melantik seseorang KMKK adalah di bawah Pejabat Daerah, jadi ia bukan sekadar mengisi jawatan itu semata-mata, malah mereka turut diberi tunjuk ajar setiap masa,” ujarnya.
Oleh Mahdar Bujang