SIMANGGANG: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memiliki jati diri dan budi pekerti masing-masing kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau jati diri dan budi pekerti itu adalah penting agar golongan KMKK berkenaan dapat menjadi seorang pemimpin di peringkat akar umbi yang lebih berkesan demi pembangunan rakyat.
“KMKK di sini juga dinasihat agar rajin bekerja di samping bertindak sebagai ‘jambatan’ penting untuk menghubungkan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan rakyat di bawah kuasa tadbir mereka.
“Dengan adanya jalinan hubungan seperti ini maka Kerajaan Sarawak akan dapat melaksanakan pelan pembangunan mereka secara menyeluruh dan lancar di dalam penempatan mereka dari masa ke semasa,” kata beliau.
Harden ketika berucap pada Program Randau KMKK di sini juga mengingatkan KMKK agar tidak mudah terpengaruh terhadap dakyah pihak tertentu menjelang musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 kelak.
Menurut beliau, kehadiran pihak berkenaan sudah menjadi kebiasaan acap kali menjelang musim pilihan raya dengan tujuan meraih sokongan daripada rakyat di sini.
“Mereka akan memutar belit pemikiran KMKK dan rakyat menerusi pelbagai isu termasuk pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN).
“Justeru jika KMKK dan rakyat berasa keliru terhadap sesuatu isu yang diungkitkan oleh pihak berkenaan maka jangan segan merujuk perkara itu kepada saya atau agensi-agensi kerajaan berkaitan di sini bagi tujuan pencerahan,” kata beliau.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Anthony Abell Chendan, Pengerusi Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman, Temenggong Samuel Lawen dan Temenggong Kueh Aik Seng.
Seramai 102 orang KMKK kaum Iban, Melayu dan Cina di sekitar kawasan Sri Aman ini telah hadir bagi menjayakan Program Randau anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di sini.
Program itu juga menyaksikan pengumuman peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) oleh Douglas Uggah kepada lima rumah ibadat (bukan Islam) dan satu persatuan di sini yang mencatat nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.
Oleh Valentine Ngumbang