KMKK perlu jadi penghubung berkesan antara rakyat dan kerajaan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn bergambar bersama peserta selepas majlis penutupan Program Pemerkasaan KMKK Daerah Serian: Fungsi Berkanun di Serian. Foto UKAS

SERIAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan sebagai penghubung yang berkesan antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan setiap dasar, program serta perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan dengan efektif di peringkat akar umbi.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, peranan KMKK pada masa ini bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul tanggungjawab besar sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat.

“Saya menggesa semua KMKK supaya terus meningkatkan profesionalisme, integriti serta pengetahuan berkaitan prosedur dan peraturan yang melibatkan fungsi berkanun bagi memenuhi harapan masyarakat yang semakin mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Program Pemerkasaan KMKK Daerah Serian: Fungsi Berkanun di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, semalam.

DATO Sri Roland Sagah Wee Inn berucap pada majlis penutupan Program Pemerkasaan KMKK Daerah Serian: Fungsi Berkanun di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, semalam. Foto UKAS

Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, kerjasama erat antara KMKK, pejabat daerah dan jabatan kerajaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan di Daerah Serian dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Mengulas mengenai perkembangan teknologi, beliau berkata KMKK juga perlu bersedia memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat penyampaian maklumat, menyelaras komunikasi dengan penduduk, mengurus data komuniti serta menyampaikan hebahan kerajaan dengan lebih pantas dan berkesan.

Program sehari itu menghimpunkan seramai 177 peserta yang terdiri daripada KMKK di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Serian dan Pejabat Daerah Kecil Balai Ringin.

DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika menghadiri majlis penutupan Program Pemerkasaan KMKK Daerah Serian: Fungsi Berkanun di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, semalam. Foto UKAS

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti enam sesi taklimat meliputi pendidikan dan pembangunan modal insan, tugas serta tanggungjawab KMKK, pengawasan mahkamah, pengurusan lesen senapang patah, akuan berkanun, pendaftaran nama perniagaan serta urusan probet dan surat kuasa wakil.

Turut hadir Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong, Pegawai Daerah Serian, Inting Nyami serta Temenggung Bidayuh Bahagian Serian, Henry Bujang Sendan.