
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan supaya memahami tanggungjawab serta amanah yang dipikul selepas diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memimpin.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, pemilihan ketua masyarakat, khususnya di rumah panjang, dibuat berdasarkan suara majoriti dan setiap individu perlu berlapang dada menerima keputusan tersebut.
“Jika kita kalah dalam pemilihan, kita harus berani mengaku kekalahan. Ia menunjukkan rakyat masih belum memberi keyakinan kepada kita sebagai ketua dan perkara itu perlu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Notis dan Sijil Pelantikan KMKK kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong di salah sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan tidak matang sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat serta menyukarkan kerajaan menerima seseorang sebagai ketua baharu di kawasan berkenaan.
“Segala perkara ada masanya. Jika masa belum tiba, kita perlu bersabar, terus belajar dan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin. Jangan hanya mahu jawatan, tetapi enggan memikul tanggungjawab,” tegasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, terdapat ketua masyarakat yang kehilangan kepercayaan rakyat kerana gagal menjalankan tugas, termasuk tidak membantu masyarakat ketika berlakunya bencana seperti banjir serta bersikap pilih kasih berdasarkan fahaman politik.
“Sebagai ketua kaum atau ketua masyarakat, kita mesti berlaku adil kepada semua tanpa mengira latar belakang atau parti politik. Undang-undang kerajaan negeri jelas menuntut perkhidmatan diberikan kepada semua rakyat,” ujarnya
Katanya, tugas kepimpinan tidak seharusnya dijadikan platform untuk publisiti atau mencari populariti semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan amanah.
Tiong menegaskan agar setiap aduan atau permohonan bantuan daripada rakyat diberi perhatian serius dan diusahakan penyelesaiannya.
“Ini termasuk berbincang dengan pihak berkaitan seperti pegawai kerajaan atau jawatankuasa berkaitan bagi memastikan keputusan yang dibuat adil kepada semua pihak,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya menghormati keputusan Jawatankuasa Pilihan KMKK demi menjaga keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat.
“Niat kita mestilah ikhlas demi rakyat dan masyarakat. Tidak kira platform atau parti mana sekalipun, selagi kita mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, itu yang paling utama,” katanya.
Beliau menggesa semua ketua kaum dan ketua masyarakat agar bersama-sama memberikan perkhidmatan yang adil, cekap dan cemerlang kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Majlis tersebut dihadiri seramai 45 KMKK dari kawasan DUN Dudong, Bawang Assan (23) dan kawasan Matu dalam DUN Bawang Assan (15).
Turut hadir ialah ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman dan Pegawai Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Choon.
Oleh Akun Giman