
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan supaya tidak menjadikan jawatan mereka sebagai ‘pasport’ untuk bertindak sesuka hati tanpa menjaga disiplin dan imej sebagai pemimpin masyarakat.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, KMKK dan kaunselor perlu menjadi contoh dan teladan kerana setiap tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan rakyat.
“Kalau kita dipilih jadi pemimpin masyarakat, semua mata tertumpu kepada kita. Cara kita bercakap, bergaul dan membawa diri akan mencerminkan imej kerajaan hari ini,” katanya ketika berucap pada sesi townhall Parti Demokratik Progresif (PDP) bersama kaunselor PBT dan Ketua Masyarakat di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini meneliti beberapa penambahbaikan dasar termasuk cadangan menetapkan syarat minimum kelayakan akademik atau pengalaman setara bagi pelantikan KMKK dan kaunselor.
Katanya, cadangan itu telah diketengahkan sejak 2020 semasa beliau mengetuai usaha transformasi PBT ketika berkhidmat sebagai setiausaha tetap kementerian.
Penguang turut menegaskan bahawa pemimpin masyarakat perlu menjaga maruah dan menunjukkan disiplin yang baik termasuk dari segi ketepatan masa dan etika menghadiri majlis rasmi.
“Saya amat menitikberatkan soal disiplin dan ketepatan masa. Pemimpin perlu tunjuk contoh yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata kegagalan pemimpin masyarakat menjaga tingkah laku bukan sahaja menjejaskan imej diri sendiri, malah boleh memberi persepsi negatif terhadap kerajaan dan kepimpinan semasa.
Turut hadir Timbalan Presiden PDP, Datuk Henry Harry Jinep; Naib Presiden Kanan III Dato Sri Wong Soon Koh, Naib Presiden II Friday Belik dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying.
Oleh Tarani Lanting