KMKK, JKKK rakan strategik kerajaan perkasa agenda pembangunan luar bandar

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr. Malcolm Mussen Lamoh merasmikan Majlis Penutupan Program Bengkel Memperkasakan Tugas dan Peranan KMKK dan JKKK di Rumah Kervin Serdin, Wong Panjai, di sini, hari ini. Foto: ADUN Batang Ai

LUBOK ANTU: Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan rakan strategik kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap dasar, inisiatif serta agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat komuniti.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, peranan pemimpin akar umbi amat penting kerana mereka menjadi penghubung utama antara kerajaan dan rakyat, sekali gus memastikan keperluan sebenar masyarakat dapat dikenal pasti serta ditangani dengan berkesan.

Beliau berkata, selain menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan, KMKK dan JKKK turut memainkan peranan menyelaras pelaksanaan projek pembangunan, memupuk perpaduan masyarakat serta memastikan keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara.

“Pembinaan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu daripada pemimpin akar umbi yang paling hampir dengan rakyat dan memahami keperluan sebenar komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Bengkel Memperkasakan Tugas dan Peranan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Rumah Kervin Serdin, Wong Panjai, di sini, hari ini.

Menurut beliau, bengkel tersebut dianjurkan bagi memperkukuh kefahaman serta meningkatkan kompetensi KMKK dan JKKK dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin akar umbi yang berkesan, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut menyeru semua KMKK dan JKKK agar terus memperkukuh semangat kepimpinan, integriti serta kerjasama dengan agensi kerajaan supaya setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat optimum kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan terus memberi penekanan terhadap pembangunan luar bandar yang inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) agar masyarakat di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan.

Pada majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM85,000 bagi menyokong pelbagai inisiatif pembangunan komuniti di Wong Panjai dan kawasan sekitarnya.

Daripada jumlah itu, JKKK Rumah Kervin Serdin menerima RM20,000, Gerempong Indu Rumah Kervin Serdin RM10,000, Persatuan Penduduk Wong Panjai RM10,000 bagi menyokong program pembangunan belia, JKKK Rumah James Guntor, Rakut RM25,000, manakala JKKK Rumah Ninting, Nanga Jambu dan JKKK Rumah Paul Isa, Panjai Ruai Atas masing-masing menerima RM10,000.

Dalam majlis sama, SABERKAS Cawangan Batang Ai turut menyampaikan 15 set bakul makanan kepada golongan yang memerlukan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat setempat.

Dr Malcolm turut merakamkan penghargaan kepada Pemanca Grang Juben selaku Pengerusi Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu atas komitmen, dedikasi dan kepimpinan beliau dalam menjayakan siri keempat yang juga siri terakhir Program Memperkasakan Tugas dan Peranan KMKK dan JKKK.

“Penganjuran program secara bersiri membuktikan kesungguhan Persatuan KMKK Daerah Lubok Antu dalam memperkasakan kepimpinan pemimpin akar umbi melalui peningkatan ilmu, kemahiran dan keupayaan agar mereka dapat melaksanakan amanah dengan lebih berkesan serta berintegriti,” katanya.

Dr Malcolm yakin kepimpinan akar umbi yang berwibawa, proaktif dan berintegriti akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan, mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan luar bandar serta membawa kesejahteraan yang berterusan kepada rakyat khususnya di DUN Batang Ai dan Daerah Lubok Antu.

Oleh Adi Safarman