Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • KMKK disaran lebih proaktif tangani risiko bencana di peringkat komuniti
  • TEMPATAN

KMKK disaran lebih proaktif tangani risiko bencana di peringkat komuniti

Utusan Sarawak 2 days ago
FRANK Lani semasa mempengerusikan Mesyuarat JPBD dan Wabak Daerah Lingga di Pejabat Daerah Lingga, hari ini. Foto: Iswandi Kassim

LINGGA: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) disaran agar memainkan peranan lebih proaktif sebagai barisan hadapan dalam pengurusan risiko bencana di peringkat komuniti.

Pegawai Daerah Lingga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Frank Lani berkata KMKK perlu menjadi agen penyampai maklumat sahih kepada penduduk, selain bertindak sebagai penyelaras awal sekiranya berlaku kecemasan di kampung masing-masing.

“KMKK bertanggungjawab menyampaikan amaran awal, memberi peringatan mengenai larangan pembakaran terbuka, serta memastikan laporan berkaitan bencana disalurkan secara tepat dan sahih kepada pihak berkuasa,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat JPBD dan Wabak Daerah Lingga di Pejabat Daerah Lingga, hari ini.

Mesyuarat turut disertai agensi-agensi teknikal dan kesihatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), serta Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman.

Antara isu yang dibincangkan termasuk gelombang haba, jerebu, pembakaran terbuka, kesiapsiagaan sekolah dan pusat kesihatan, serta pelan tindak balas terhadap impak Monsun Barat Daya yang dijangka berlarutan hingga September 2025.

Frank turut menegaskan bahawa mobilisasi agensi perlu meliputi tiga fasa utama kesiapsiagaan, tindakan pantas dan pemulihan pasca bencana, manakala KMKK mesti menjadi penghubung efektif antara komuniti dan agensi kerajaan.

Salah satu isu berbangkit yang mendapat perhatian adalah keperluan menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela di kawasan pedalaman, susulan jarak balai bomba melebihi satu jam perjalanan dari beberapa kampung.

Selain itu, tekanan air yang semakin ketara akibat pertambahan penduduk dan pembangunan turut dikemukakan. JBALB disaran mengkaji semula kapasiti bekalan dan memperkemas pelan sokongan teknikal di kawasan terjejas.

Dalam aspek keselamatan, KMKK disaran bekerjasama dengan JBPM untuk menyemak semula lokasi pili bomba dan menggalakkan pemasangan alat pemadam api di rumah panjang serta premis awam.

Frank juga mencadangkan agar latihan kesiapsiagaan bencana dan kesihatan diperluas kepada KMKK, persatuan, belia dan sukarelawan bagi memperkukuh persediaan dari segi mental, fizikal dan logistik dalam menghadapi bencana mahupun isu kesihatan yang berpotensi.

“Saya menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada, elakkan pembakaran terbuka, hadkan aktiviti luar, dan pastikan pengambilan air mencukupi. Keselamatan dan kesejahteraan rakyat adalah keutamaan kita bersama,” katanya.

Oleh Adi Safarman

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Megah Armada SB dilantik sebagai IAC Kejuruteraan Mekanikal PMU
Next: Denmark berhasrat perkukuh kerjasama dengan Sarawak dalam teknologi hijau, tenaga dan AI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.