
SARIKEI: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) adalah duta kepada masyarakat setempat bagi memberi contoh yang terbaik kepada rakyat terhadap pentadbiran dan pengurusan kerajaan, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk KMKK memahami sejarah dan latar belakang kewujudan KMKK.
“KMKK juga perlu memahami tadbir urus dan pengurusan KMKK serta meningkatkan pengetahuan berkenaan peranan dan tanggungjawab mereka.
“Pihak kerajaan terutamanya kerajaan Sarawak komited untuk memperkasa dan membudayakan pentadbiran yang berintegriti, pengurusan tatakelola yang baik, bebas rasuah dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kita perlu memastikan warga KMKK sebagai pemimpin akar umbi di masyarakat yang menjadi tulang belakang kepada sesebuah komuniti sentiasa mengamalkan integriti dan memastikan tatakelola baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka, supaya aspirasi PCDS 2030 dapat dicapai iaitu sebagai Sarawak wilayah maju menjelang 2030 dengan kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi, keterangkuman sosial dan budayanya serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kursus MIKM Tahap 1 Siri 16 Bilangan 4/2025 dan Tahap 2 Siri 5 Bilangan 4/2025 bagi kawasan DUN Kuala Rajang bertempat di Dewan Sentral Sarikei, hari ini.
Tambahnya, KMKK merupakan peneraju kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan masyarakat adalah merupakan “mata dan telinga” yang terbaik dalam memastikan perjalanan setiap projek atau program mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Justeru itu, saya berharap semua KMKK selaku pemimpin masyarakat supaya sentiasa memantau segala aktiviti mahupun projek yang telah diluluskan di kawasan masing-masing.
“Tindakan ini amat penting agar semua aktiviti atau projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan anda berjalan dengan lancar, tidak bermasalah dan akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Sekiranya mengesyaki projek dilaksanakan agak lembab atau tidak mengikut spesifikasi yang telah diluluskan adalah menjadi tanggungjawab KMKK untuk melaporkan perkara tersebut kepada agensi berkaitan,” katanya.
Katanya, sekiranya terdapat sesuatu yang tak kena berkenaan projek yang sedang dilaksanakan, KMKK perlu melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Ini bagi memastikan agar semua projek yang dilaksanakan ada integritinya seperti mengikut jadual, bajet dan spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Dalam pada itu, KMKK juga seharusnya menjadi ikon dan teladan kepada masyarakat.
“Sebagai seorang pemimpin, nilai integriti merupakan karakteristik utama yang mesti ada. Dengan kata lain, kepimpinan berintegriti adalah konsep kepimpinan yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai yang baik dan murni yang menjadi contoh kepada orang lain untuk mereka mengikut dan mengamalkan nilai-nilai tersebut,” katanya lagi.
Katanya lagi, pemimpin yang berintegriti boleh memberi kesan yang berkekalan dalam masyarakat.
“Integriti dalam kepimpinan bermaksud mempunyai prinsip moral yang kukuh, berpegang pada kata-kata anda dan melakukan perkara yang betul.
“Oleh itu, saya amat berharap melalui konsep kepimpinan berintegriti ini, ianya dapat memastikan pembangunan dan pengurusan tatakelola yang baik di peringkat komuniti diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan sekaligus dapat mengurangkan serta mencegah sebarang permasalahan mahupun isu-isu integriti di peringkat setempat,” tambahnya.
Oleh Earl Anek