KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Kunjungan hormat yang diketuai Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Dato Ir. Janang Bungsu adalah bertujuan untuk memaklumkan tentang perkembangan International Engineering Centre (IntEC) kepada Abang Johari.
Menurut Janang, Kerajaan Sarawak memperuntukkan tanah di kawasan Samarahan selain bersetuju untuk memberikan ‘matching grant’ bagi pembinaan bangunan InTEC.
“IEM Cawangan Sarawak akan membeli satu unit rumah kedai untuk dijadikan sebagai pusat sementara IntEC bagi membolehkan mereka untuk menjalankan aktiviti seperti seminar dan kursus pendek bagi membangunkan, menyemai serta meningkatkan pengetahuan jurutera di Sarawak dalam bidang kejuruteraan.
“Kerajaan Sarawak kini juga sedang menuju ke arah pendigitalan, jadi kita berharap agar para jurutera juga tidak ketinggalan untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan berkaitan teknologi seperti ‘Artificial Intelligence’ (AI) dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya.
Tambah beliau, mereka juga akan melancarkan Buku Peringatan Ulang Tahun ke-53 IEM Cawangan Sarawak yang berkisarkan perkembangan pembangunan di Sarawak.
“Pembangunan di Sarawak masih lagi rancak dan ramai jurutera dari negeri lain datang ke Sarawak untuk bekerja namun kita berharap agar kerajaan negeri boleh memberi keutamaan kepada rakyat tempatan untuk menerajui pembangunan di Sarawak kerana pastinya kita lebih mengenali Sarawak sebagai rakyatnya,” tambahnya
IEM Cawangan Sarawak ditubuhkan pada 1968 dengan keanggotaan seramai 4,601 orang (setakat Disember 2020) yang terdiri daripada jurutera profesional serta graduan dalam bidang kejuruteraan dan mempunyai pejabat yang beroperasi di Kuching dan Miri.
Turut hadir, mantan Pengerusi Ir. Haidel Heli dan ahli-ahli IEM yang lain.