KUCHING: Perpindahan Kapal Maritim (KM) Semilang ke Zon Tanjung Manis adalah untuk melancarkan tugas operasi dan cari lamat di zon maritim di sana.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, dengan penambahan aset Maritim Malaysia di Zon Maritim Tanjung Manis, pemantauan di perairan Sarawak akan dapat dilakukan dengan lebih efisien.
“KM Semilang ini telah diputuskan untuk ditempatkan di Kem Tanjung Manis bagi meningkatkan keupayaan dan pengoperasian yang pada ketika ini hanya ada sebuah aset yang ditempatkan di sana.
“Kita yakin penempatan baharu ini akan dapat meningkatkan kemampuan kita di Zon Maritim Tanjung Manis untuk tujuan operasi penguatkuasaan dan mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya berlaku sebarang kejadian di
perairan Tanjung Manis,” katanya dalam sidang media di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) KOMTAS.
Menurut beliau, sebanyak lima aset beroperasi sehari bagi memastikan perairan Sarawak tidak dicerobohi.
“Perairan kita sering dicerobohi oleh nelayan asing dan aktiviti jenayah dan salah laku sering mengambil tempat di kawasan perairan.
“Kita mahu membanteras semua kegiatan jenayah salah laku yang berlaku di perairan negeri ini dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada,”jelasnya.
Beliau juga memberitahu bahawa Maritim Sarawak memiliki 15 kapal dan 15 bot yang akan ditempatkan di seluruh Zon Maritim Sarawak untuk memantau seluruh perairan negeri ini.
Oleh ASYRAF HALIM