KUCHING: Klip video yang disunting dan menjadi viral bagi menggambarkan calon Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang mengatakan bahawa penduduk luar bandar di Sarawak tidak miskin kerana mereka mempunyai Empurau untuk dimakan, memberi kesan negatif terhadap kempen calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) itu.
Ang Woei Shang, seorang peguam yang juga kolumnis yang menjadi hos wawancara Lo dalam klip video itu tiba di Kuching dari Kuala Lumpur petang Rabu untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Ditemu bual oleh Utusan Sarawak, Ang berkata, ini sememangnya politik kotor dan setelah menyaksikan begitu banyak pilihan raya sebelum ini, ia paling kotor daripada semuanya.
“Video yang disunting kelihatan seperti Lo menyatakan bahawa rakyat Sarawak terutamanya penduduk luar bandar tidak miskin kerana mereka mempunyai empurau untuk dimakan. Sebenarnya, saya bertanya kepadanya mengapa Kerajaan Sarawak mempunyai dana rizab RM20 bilion dan tidak menggunakan wang ini untuk membangunkan negeri itu dan ia adalah salah satu negeri termiskin di Malaysia,” kata Ang.
Malah, katanya terdapat penduduk asli yang tinggal di kawasan pedalaman tidak mempunyai pendapatan.
Kumpulan orang ini, Lo memberitahunya lebih suka tinggal di kawasan desa, di pergunungan di mana mereka menangkap ikan dan memburu makanan harian mereka daripada tinggal di bandar.
“Mereka ini mungkin gembira dengan kehidupan mereka sendiri. Oleh itu, apabila data yang dikumpul menunjukkan mereka tidak mempunyai pendapatan, kumpulan ini menyebabkan peningkatan (tahap) miskin tegar Sarawak,” katanya.
Ang menegaskan bahawa keseluruhan klip video yang tular telah diambil di luar konteks oleh mereka yang mahu menjadikan Lo dilihat dalam situasi yang buruk.
“Walaupun saya mempunyai jadual yang padat, saya tetap terbang untuk memperbetulkan keadaan. Sama ada ia akan membantu untuk melakukan sebarang kawalan kerosakan, saya tidak tahu. Tetapi saya hanya mahu membetulkan perkara itu,” katanya.
Katanya, dia sendiri telah menerima lebih 100 kali video Empurau itu, justeru apabila pejabat Lo menghubunginya, dia merasakan menjadi kewajipannya untuk datang bagu menjelaskan keseluruhan keadaan sebenar.
Ang yang telah menulis tiga buku menyentuh politik Malaysia berkata dia seorang penulis bebas.
Beliau juga membantu Pakatan Harapan (PH) atau Parti Warisan Sabah untuk berkempen atau meningkatkan ‘rating’ mereka.
“Saya bantu mereka yang saya rasa patut dibantu, itu sahaja. Saya telah menemu bual Tun Dr Mahathir Mohamad, wakil-wakil pembangkang dan juga mereka dalam kerajaan. Saya bukan ahli mana-mana parti,” katanya.
Pada petang Rabu, Ang turut naik ke pentas ceramah di Aeroville Mall di mana beliau menerangkan secara terperinci sebab beliau dijemput berceramah.
Beliau juga menggesa pengundi Stampin untuk mengundi GPS.
Ang yang mempunyai 180,000 pengikut di media sosial seperti melalui platform Youtube dan ‘facebook’ berkata dia tidak pernah menerima bayaran dalam melakukan semua ceramah itu.
Sepuluh tahun lalu, dia mula menulis dan semasa Covid-19, mula membuat siaran secara ‘live’ di media sosial.
Kebanyakan topiknya adalah mengenai politik walaupun ada kalanya, dia menceburi bidang penulisan buku, filem atau drama dan subjek ringan lain.
Beliau juga percaya Barisan Nasional (BN) di Semenanjung masih mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.
Daripada pengundi berusia 18 tahun, Ang berkata tidak akan ada kesan yang besar.
Katanya, ramai anak muda tidak berminat dengan politik sehingga mereka reda dan menghadapi lebih banyak cabaran dalam hidup.
Mengenai senario politik negara, beliau berkata, keadaan itu tidak baik untuk negara dari segi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kewangan.
Lebih teruk lagi, garis pengasingan di Malaysia Barat semakin teruk yang akan memberi kesan negatif kepada Malaysia secara keseluruhan.
Ang berkata beliau ingin menyampaikan mesejnya kepada GPS bahawa GPS bukanlah Kingmaker dalam senario politik.
Malah, katanya, GPS sendiri adalah Raja dan mereka harus lebih tegas dalam memperjuangkan Sarawak.
Oleh CONNIE CHIENG