
MATU: Klinik Kesihatan Tian menyambut ulang tahunnya yang ke-34 dengan menganjurkan Program Dao’ Telo Pamat, Run 2025: ‘Nak Medut, Asal Sihat’ (Program Bagus Kita Berlari 2025: ‘Jangan Takut, Asal Sihat’) serta karnival kesihatan yang berlangsung meriah di Dewan Masyarakat Tian, semalam.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, dalam ucapan perasmiannya menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
“Inisiatif seperti ini amat penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan, khususnya berkaitan penyakit seperti kanser, tuberkulosis dan amalan pemakanan sihat.
“Ia juga membuka ruang kepada komuniti untuk mendapatkan maklumat kesihatan terus daripada pakar,” katanya.
Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Klinik Kesihatan Tian bersama Klinik Kesihatan Matu, Kuala Matu, Kuala Igan, Nanga Passin dan Rassau dengan sokongan Pejabat Kesihatan Daerah Matu serta penglibatan agensi komuniti seperti KOSPEN Jemoreng, Dapur Sihat dan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.
Acara dimulakan dengan Fun Run yang mendapat sambutan luar biasa, melibatkan seramai 1,500 peserta dari seluruh Sarawak merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk karnival kesihatan, pameran kesihatan, saringan minda sihat, derma darah, pameran sains pemakanan, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke terbuka serta cabutan bertuah.
Sebagai tanda keprihatinan sosial, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan kepada 10 pesakit kanser sebagai usaha meringankan beban mereka dan menyuntik semangat dalam menghadapi cabaran kesihatan.
Klinik Kesihatan Tian yang telah berkhidmat lebih tiga dekad kepada komuniti setempat, komited untuk terus memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui pelbagai program kesihatan yang inklusif, menyeluruh dan berimpak tinggi. -UKAS