KOTA SAMARAHAN: Klinik Kesihatan Prima UNIMAS menawarkan khidmat kesihatan dengan menggunakan teknologi canggih bagi mengenal pasti jenis penyakit dan mengawal populasi menua di negeri ini
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, alat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan peranti perubatan pintar itu memainkan peranan penting dalam memastikan golongan warga emas dapat menerima penjagaan yang lebih terjamin.
“Sarawak akan menuju ke arah populasi menua di mana 16 peratus penduduknya dijangka berusia 60 tahun ke atas tidak lama lagi.
“Penjagaan kesihatan untuk golongan ini memerlukan pendekatan yang lebih canggih, jadi dengan adanya AI, setiap data kesihatan peribadi boleh dianalisis untuk mengenal pasti punca penyakit dan memberikan penyelesaian yang tepat dan cepat” katanya ketika berucap merasmikan Klinik Kesihatan Prima, Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, hari ini.
Abang Johari memberitahu bahawa, teknologi seperti X-ray digital dan alat pengesan perubatan lain juga akan menjadi titik tolak kepada penjagaan kesihatan yang lebih mampan.
Justeru, beliau menyatakan bahawa UNIMAS memainkan peranan yang penting kepada pembangunan teknologi kesihatan dalam menjadikan Sarawak sebagai hab inovasi kesihatan digital di Malaysia.
“Dengan penubuhan klinik ini,Sarawak bukan sahaja melangkah ke hadapan dalam menyediakan penjagaan kesihatan berasaskan teknologi canggih.
“Inisiatif ini juga merupakan usaha kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini khususnya kepada golongan warga emas” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Turut serta, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor UNIMAS Ahmad Hata Rasit.
Oleh Noor Ikmal