KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Klinik Kesihatan Kelas 3 (KK3) di Bahagian Serian dijangka siap sepenuhnya pada 9 Jun 2022.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba projek tersebut yang dilaksanakan secara berfasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak telah bermula pada 10 Jun 2020 dengan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa selama dua tahun.
Katanya, projek berkenaan telah diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) 2015.
“Fasa satu melibatkan kerja tanah pada 1 Disember 2016 dan siap sepenuhnya pada 20 Julai 2017.
“Fasa kedua melibatkan kerja bangunan telah ditender pada 14 September 2019 dengan tarikh tutup tender pada 7 Oktober 2019. Surat Setuju Terima atau SST telah dikeluarkan pada 3 Mac 2020,” katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Jaem pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JKR Negeri Sarawak dan agensi kerajaan yang lain akan sentiasa bekerjasama erat bagi memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar selari dengan aspirasi kementerian agar ianya disiapkan pada masa, kos dan standard yang telah ditetapkan.
Mengenai permohonan Ahli Parlimen Serian untuk pembinaan dua lagi klinik sama di Tebedu dan Bunan Gega, Dr Adham berkata pihaknya telah berbincang untuk membina Klinik Kesihatan gantian di Tebedu terlebih dahulu di bawah RMK-12.
Oleh Diyana Samsuddin