
KABONG: Program Hari Penyusuan Susu Ibu 2025 yang bertemakan ‘Utamakan Penyusuan Susu Ibu: Wujudkan Sistem Sokongan Yang Mampan’ telah berlangsung di Klinik Kesihatan Kabong, hari ini.
Program yang dianjurkan ini dengan penekanan terhadap peranan keluarga, komuniti dan fasiliti kesihatan dalam memastikan kejayaan penyusuan secara eksklusif.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir yang turut meluangkan masa menyantuni pesakit luar serta meninjau Klinik Pergigian Kabong dan beberapa unit lain bagi menilai kemudahan sedia ada.
Dalam ucapannya, Chee Kadir menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada pelbagai pihak adalah kunci kejayaan penyusuan susu ibu, bukan sahaja untuk kesihatan bayi, malah untuk kesejahteraan ibu.
“Penyusuan susu ibu adalah anugerah semula jadi yang tidak ternilai. Namun, kejayaannya memerlukan sistem sokongan yang kukuh daripada keluarga, rakan, komuniti, sehingga ke fasiliti kesihatan,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, beliau turut menyampaikan sijil kepada para ibu yang berjaya mengamalkan Penyusuan Susu Ibu Eksklusif serta menyerahkan sumbangan dua unit penghawa dingin mudah alih dan dua unit lampu solar untuk kegunaan Klinik Kesihatan Kabong.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penyusuan susu ibu, menggalakkan peranan aktif keluarga dan komuniti dalam menyokong ibu menyusu, serta membentuk sistem sokongan yang mampan demi kelangsungan amalan tersebut.
Turut hadir, Pegawai Perubatan Menguasa Klinik Kesihatan Kabong Dr. Khairah Afira Rozali, Pakar Perubatan Keluarga Dr. Mohamad Abu Zar Abdul Halim, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kabong Bujang Lee, Penghulu Sani Mohd Penghulu Rahman @ Dom Kapok, ahli panel penasihat serta tetamu jemputan.
Oleh Adi Safarman