
MIRI: Klinik Kesihatan Bario (KKB) menerima sumbangan dua unit peralatan perubatan bernilai RM78,500 hasil usaha dan keprihatinan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu telah menyerahkan sumbangan itu pada satu majlis yang diadakan KKB pada hari ini.
Menurut kenyataan media dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, sumbangan itu merupakan daripada seorang dermawan melibatkan satu unit mesin defibrillator bernilai RM23,500 dan satu unit mesin ultrasound bernilai RM55,000.
“Kedua-dua peralatan ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan klinik dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien, selamat dan menyeluruh kepada masyarakat tempatan.
“Mesin defibrillator akan digunakan dalam rawatan kecemasan serta pengurusan masalah jantung, manakala mesin ultrasound pula penting dalam penjagaan kehamilan bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, dalam ucapan Datuk Gerawat menyatakan harapan agar kemudahan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat di Bario dan membantu memperkukuh sistem kesihatan luar bandar.
Majlis ini diselaraskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan yang mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti pedalaman.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy dan Ketua Pakar Perubatan Keluarga Bahagian Miri Dr. Maurice Steve Utap.
Oleh Adum Liu