
LUBOK ANTU: Satu lagi projek infrastruktur penting bakal memperkukuh kemudahan kesihatan di Bahagian Sri Aman menerusi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 4 baharu di Jalan JKR Kuarters, Off Jalan Lubok Antu.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di laman rasmi Facebook hari ini, projek tersebut bertujuan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih lengkap, moden dan selesa kepada penduduk setempat.
Projek ini melibatkan sebuah bangunan utama klinik Kesihatan, dua unit kuarters Kelas D (dua tingkat), sebuah kuarters Kelas F (empat tingkat), sebuah kuarters Kelas G (empat tingkat), serta sebuah pondok pengawal.
Pembinaan dimulakan pada 13 Ogos 2025 dan dijadual siap sepenuhnya pada 12 Ogos 2027.
Apabila siap kelak, klinik tersebut dijangka memperkukuh akses terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti, selain menyokong usaha kerajaan negeri mempertingkat kesejahteraan dan taraf hidup komuniti di Daerah Lubok Antu.
Oleh Adi Safarman