KLIA gesa pengunjung F1 guna pengangkutan awam berikutan tempat letak kereta terhad

Facebook
WhatsApp
PENGANGKUTAN awam. Foto hiasan. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menasihati pengunjung yang akan menghadiri perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini supaya menggunakan pengangkutan awam berikutan peningkatan ketara trafik dan pergerakan kenderaan yang dijangka berlaku sepanjang hujung minggu perlumbaan. 

Dalam kenyataan hari ini, KLIA memaklumkan ruang meletak kenderaan di Terminal 1 KLIA dan Tempat Letak Kereta Jangka Panjang di lapangan terbang itu amat terhad dan dijangka mencapai kapasiti penuh seawal setiap hari.

“Lebih 200,000 penonton dijangka berada di SIC sepanjang acara tiga hari itu, dengan jumlah pengunjung harian dijangka melebihi 100,000 orang. Pengunjung dinasihatkan supaya tidak memandu ke KLIA untuk meletakkan kenderaan masing-masing di situ kemudian meneruskan perjalanan ke SIC, sebaliknya membuat perancangan alternatif.

“Pengunjung digalakkan merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) termasuk KLIA Ekspres dan KLIA Transit, serta perkhidmatan e-hailing untuk tiba di Terminal 1 dan 2 KLIA,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke SIC akan disediakan untuk pengunjung F1, dari Terminal 2 KLIA, Tempat Letak Kereta Jangka Panjang KLIA dan Mitsui Outlet Park KLIA.

KLIA turut mengingatkan penumpang yang melakukan perjalanan udara semasa hujung minggu F1 berlangsung  supaya memperuntukkan masa perjalanan tambahan apabila menuju ke lapangan terbang, kerana kesesakan lalu lintas dijangka berlaku di jalan-jalan utama menghala ke KLIA.

Menurut KLIA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan lencongan trafik dari 8 pagi hingga 11 malam setiap hari semasa acara tiga hari itu, dan pengguna jalan raya disarankan agar menggunakan laluan alternatif seperti yang diarahkan.

“Penumpang digalakkan menyemak maklumat terkini berkaitan trafik dan perjalanan daripada pihak KLIA, PDRM dan SIC sebelum memulakan perjalanan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

KLIA memaklumkan pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan pihak berkepentingan untuk melancarkan aliran trafik serta mengutamakan kelancaran pergerakan penumpang sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Pada Julai lepas, F1 mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Oktober, susulan perjanjian antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian itu mengekalkan Bahrain GP dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan tersebut dibatalkan pada awal musim ini berikutan ketegangan poliitk di Asia Barat.

Malaysia, sebelum ini, menjadi tuan rumah Malaysia GP di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlubaan itu digugurkan daripada kalendar F1. – Bernama

MEF sambut baik kelonggaran gaji minimum PMKS

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan memberikan kelonggaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan

MEF sambut baik kelonggaran gaji minimum PMKS

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan memberikan kelonggaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan