Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • KLFW 2025 angkat pesona fesyen lestari asal fabrik terbuang
  • RENCANA

KLFW 2025 angkat pesona fesyen lestari asal fabrik terbuang

Utusan Sarawak 8 hours ago

MODEL memperagakan pakaian rekaan Salahuddin Hilmi pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 baru-baru ini. Langsir lusuh, cadar usang dan beg kulit terpakai diangkat menjadi rekaan fesyen elegan di pentas KLFW 2025. Tampak mustahil, namun itulah yang direalisasikan tiga pereka muda Salahuddin Hilmi, Mei Mei dan Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan atau dikenali sebagai Raja Irfan menerusi hampir 30 rekaan unik dalam segmen AirAsia Presents Design to Sustain, hasil eksplorasi kreatif menggunakan bahan terpakai. Foto BERNAMA

SIAPA sangka langsir lusuh, cadar usang dan beg kulit terpakai mampu diangkat menjadi rekaan fesyen elegan dan dipersembahkan di pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025.

Tampak mustahil, namun itulah yang direalisasikan oleh tiga pereka muda Salahuddin Hilmi, Mei Mei dan Raja Muhammad Irfan Raja Muhammad Reduan atau dikenali sebagai Raja Irfan, menerusi hampir 30 rekaan unik dalam segmen AirAsia Presents Design to Sustain, hasil eksplorasi kreatif menggunakan bahan terpakai.

Bagi Salahuddin Hilmi, kekangan pilihan fabrik bukan alasan untuk berkompromi dengan visi artistik alam koleksi ‘Intersect’ yang mengetengahkan tema cahaya, bayang dan pergerakan menerusi 10 busana.

“Material saya peroleh di pusat pengumpulan tekstil terpakai. Bila sampai sana, saya terus kena buat keputusan tekstil mana yang boleh digunakan. Banyak idea asal terpaksa diubah selepas tengok bahan sebenar, tapi cabaran itu buat saya lebih kreatif,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen daripada  Management and Science University itu percaya potensi kreativiti dalam fesyen tidak seharusnya terhad kepada fabrik baharu, sebaliknya menuntut keberanian mencipta sesuatu yang segar daripada sumber sedia ada.

Menyedari isu pencemaran dan lambakan sisa tekstil yang kian membimbangkan, anak kelahiran Kedah itu berharap karyanya  dapat menyemarakkan kesedaran masyarakat tentang nilai dan potensi bahan terpakai

Sementara itu, Raja Irfan pula menampilkan koleksi The First Light, membawa mesej bahawa sesuatu yang pernah dipinggirkan boleh diberi nafas baharu demi kelestarian dan masa depan yang lebih bertanggungjawab.

Pereka berusia 26 tahun itu menggunakan pelbagai bahan dari kedai ‘bundle’ seperti langsir hiasan, selimut kait lama dan jaket nilon terpakai. Antara cabaran utamanya ialah menghasilkan kelopak bunga daripada jaket nilon yang perlu dipotong satu per satu secara manual dan dicat fabrik emas bagi menambah elemen sofistikated.

Mengakui proses itu memerlukan penelitian dan kesabaran berbanding menggunakan fabrik baharu, lulusan Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara itu yakin fabrik terpakai mampu menghasilkan busana yang tampak baharu, sofistikated dan selari dengan nilai estetik yang mahu diketengahkan.

“Kelestarian bukan sekadar selamatkan bumi. Ia tentang kita belajar menghargai setiap bahan yang kita ada,” katanya yang kali pertama menghasilkan koleksi menggunakan bahan terpakai.

Gerakan fesyen lestari turut mendapat perhatian pemain industri seperti AirAsia, yang mempersembahkan koleksi seragam kru kabin baharu menggunakan hingga 40 peratus fabrik kitar semula, termasuk tekstil daripada uniform lama syarikat. Langkah itu menandakan usaha mereka ke arah rekaan korporat yang lebih bertanggungjawab.

Menjadi persembahan fesyen pertama menampilkan koleksi uniform di pentas KLFW,  segmen itu turut memperkenalkan beg tangan baharu daripada bahan kitar semula. Pemakaian seragam baharu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Ogos ini, melibatkan 4,500 kru.  

Ketua Kumpulan Kru Kabin AirAsia, Suhaila Hassan berkata inisiatif tersebut memastikan pakaian seragam bukan sahaja selesa dan praktikal, malah mesra alam.

“Pemilihan bahan kitar semula dan kerjasama dengan rakan kongsi yang mementingkan prinsip alam sekitar dan sosial menunjukkan bahawa kami terus mencapai kemajuan dalam pelbagai cara,” katanya. — Bernama

Continue Reading

Previous: Usahawan muda jana rezeki hasil kreativiti olah tayar terpakai
Next: Pemuda angkat identiti nasional menerusi motif budaya Malaysia pada jam tangan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.