

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan projek.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata punca kelewatan lazimnya berkait dengan isu tapak projek melibatkan pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemilik utiliti, selain kelemahan pengurusan atau masalah kewangan syarikat kontraktor.
Bagaimanapun, katanya hanya sekitar tiga peratus projek dikenal pasti sebagai lewat, bermasalah atau ‘sakit’, namun angka itu tidak menggambarkan keseluruhan prestasi kerana majoriti projek disiapkan mengikut jadual atau lebih awal.
“Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peraturan.
“Jangan lupa, kontrak ini mempunyai aspek undang-undang dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan projek,” katanya selepas menghadiri Majlis Malaysia-Korea Intelligent Transport Systems (ITS) Roadshow 2025, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya KKR mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang sambil lewa atau gagal melaksanakan projek mengikut jadual.
Pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR semalam, Perdana Menteri menegaskan perkara itu penting kerana kementerian tersebut bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat.
Sementara itu, mengenai isu lampu jalan, Nanta berkata KKR bekerjasama dengan pelbagai agensi serta menggunakan pangkalan data sedia ada bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan pencahayaan tambahan, dengan tumpuan diberikan kepada kawasan berisiko.
“Kita mahu setiap jalan raya diterangi jika memungkinkan, namun pada masa ini kita berdepan kekangan sumber. Justeru, buat sementara waktu, dasar kita adalah memberi keutamaan pencahayaan di kawasan berisiko kemalangan serta di simpang dan jambatan.”
“Kita belum mampu mencahayakan keseluruhan jajaran jalan. Sebab itu masih terdapat kawasan yang gelap, namun kita telah memohon bajet tambahan supaya usaha ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
— BERNAMA