TENAGA Nasional Berhad (TNB) dan anak syarikatnya GSPARX Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi mempelopori dan mengkaji potensi inisiatif dalam bidang Tenaga Boleh Diperbaharui khususnya teknologi Solar Photovoltaic (PV) di bangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Abdullah berkata, pemilik bangunan atau pengguna akan menikmati zero upfront cost dan zero capex melalui satu mekanisme penyewaan di bawah perjanjian Supply Agreement for Renewable Energy (SARE).
Katanya, pelaksanaan Program Solar Energy Purchasing (SEP) ini adalah selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) yang telah diperkenalkan Kerajaan bagi menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui di Malaysia di samping menjimatkan bil elektrik pengguna.
“Kerajaan telah memperkenalkan program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0) yang bertujuan untuk memberi lebih banyak peluang kepada pengguna elektrik.
“Selain itu ia juga untuk menjimatkan bil elektrik melalui pemasangan sistem solar di premis pengguna termasuk bangunan-bangunan Kerajaan menerusi inisiatif NEM GoMEN,” beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Solar Energy Purchasing (SEP) untuk bangunan KKR & JKR secara maya pada Selasa.
Tambah Fadilah, inisiatif pemasangan sistem solar di dua belas bangunan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara menunjukkan komitmen KKR dalam menyumbang ke arah masa hadapan yang lebih lestari di samping dapat menjimatkan kos operasi tahunan.
“Kementerian mensasarkan penjimatan tenaga sehingga RM9.27 juta bagi tempoh perjanjian selama 21 tahun yang mana penjimatan tahun pertama dianggarkan sebanyak hampir RM200,000.
“Ini adalah merupakan penjimatan segera yang akan dinikmati oleh pihak KKR dan JKR Malaysia tanpa mengeluarkan sebarang kos pemasangan dan kos penyelenggaraan di samping dapat mengurangkan perbelajaan kos bayaran utiliti bulanan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, penjanaan tenaga daripada sumber sistem solar yang mesra alam ini dijangka dapat menghasilkan 1,400 MegaWatt hour (MWh) setahun bersamaan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 819 tan CO2 setahun.
“Justeru itu, pelaksanaan program rintis ini, mampu menjadi pemangkin bagi pemasangan sistem solar di keseluruhan bangunan-bangunan KKR dan JKR Malaysia di seluruh Negara.
“Dianggarkan, kementerian ini sahaja mampu menyumbang hampir 10 peratus daripada kuota NEM GoMEn dengan penjimatan bil elektrik sehingga RM70 juta sepanjang tempoh perjanjian,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO