
SIBU: Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan Projek Garisan Merah sebagai inisiatif strategik untuk memastikan infrastruktur jalan raya di Sarawak kekal berada pada tahap terbaik dari segi keselamatan, keselesaan dan kelancaran trafik di samping mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyatakan perkara itu pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Garisan Merah di Seksyen Durin dan Salim, petang tadi.
Terdahulu, Nanta telah melakukan lawatan kerja ke Seksyen Kemena, Jalan Kemena ke Jalan Lapangan Terbang Bintulu.
Menurutnya, secara keseluruhan, pelaksanaan Projek Garisan Merah terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu jajaran pendek dan jajaran panjang.
Katanya, jajaran pendek garisan merah melibatkan sembilan lokasi lorong memotong sedia ada dengan panjang keseluruhan 17.1 kilometer (km).
“Antara Bintulu dan Miri sahaja, terdapat lima lokasi lorong memotong dengan panjang purata kira-kira 2 km setiap satu. Kelulusan bagi pelaksanaan projek ini telah diperolehi di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan.
“Manakala jajaran panjang garisan merah meliputi empat seksyen utama dengan jumlah keseluruhan sepanjang 119.64 kilometer (km). Ia terdiri daripada Seksyen Durin dan Salim yang merangkumi laluan dari Persimpangan Julau ke Persimpangan Lapangan Terbang Sibu sepanjang 40.27 km.
“Seksyen Kemena dari Simpang Lapangan Terbang Bintulu ke Batu 5 sejauh 14.25 km, Seksyen Tudan dari Jalan Pujut Link ke Simpang Kuala Baram sepanjang 9.7 km dan Seksyen Batu Kawa dan Padawan, dari Persimpangan Batu Kawa ke Persimpangan Serian dengan panjang 55.42 km,” jelasnya.

Nanta memberitahu, peruntukan untuk kerja menaik taraf Durin dan Salim bernilai RM231 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2026, dengan kerja menaik taraf jajaran ini akan dilaksana secara berfasa sebaik sahaja peruntukan itu disalurkan kepada KKR.
“Kami di peringkat KKR berterima kasih dan menghargai kerjasama daripada pihak KKR Sarawak kerana memberi kerjasama dan sangat membantu melaksanakan projek-projek yang diamanahkan pada kami di KKR untuk kejahteraan rakyat.
“Kita berharap kedua-dua pihak KKR dan juga JKR Sarawak akan terus bekerjasama bukan sekadar di projek-projek lain. Banyak lagi projek lain yang kami bersama dalam pelaksanaannya,” kata beliau.
Oleh Akun Giman