PANTAU… Dato’ Sri Fadillah Yusof serta yang lain memantau keadaan Lebuhraya Pan Borneo di Jejambat Sri Aman.
SRI AMAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menghadapi tiga cabaran utama untuk menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo.
Menterinya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, tiga cabaran tersebut adalah kontraktor, bahan dan kenaikan harga barang.
“Walaupun projek ini ada sesetengahnya tidak siap mengikut jadual yang ditetapkan, ia tidak dianggap ‘projek sakit’.
“Maknanya ada yang dapat diatur dan ada yang mungkin memerlukan sedikit sokongan dan bantuan untuk disiapkan dalam sasaran yang ditetapkan.
“Keadaan yang lewat ataupun cabaran yang dihadapi kita ialah masih ramai pekerja yang belum masuk ke Sarawak. Pada masa sekarang, kita cuma mempunyai 70 peratus kapasiti dari segi tenaga sumber manusia yang bekerja (kontraktor),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena
Jelajah FTRoadpedia Sarawak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temudok Sri Aman, semalam.
Tambahnya, dari segi bahan pula, lombong dan kuari tidak beoperasi sepenuh masa.
“Maka, bekalan bahan mentah khususnya batu, pasir dan sebagainya bukan dalam tahap yang maksimum malah ada kuari yang telah ditutup,” ujarnya.
Dalam pada itu, kenaikan harga barang melibatkan sektor pembinaan seperti diesel, besi dan bahan asas yang lain.
“Kita sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan bagaimana hendak tangani kos bahan ini, jelasnya.
Katanya, pihak kontraktor pada masa ini sedang menghadapi kenaikan harga bahan antara 15 hingga 30 peratus.
“Dalam peringkat kita, dari segi kontrak tidak ada perubahan sebab dalam kontrak perjanjian ini adalah berasaskan sekaligus kontrak.
“Maknanya, apa-apa kenaikan barang tidak menjejaskan harga siling telah ditetapkan.
“Tapi, kita sedar bahawa di peringkat kontraktor, mereka akan menghadapi masalah ini sebab itu kita sedang mempertimbangkan bagaimana mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh para kontraktor,” jelasnya.
Oleh NUR AIN OTSMAN