KUCHING: Kolaborasi antara agensi utama dalam sektor pembinaan dan infrastruktur terus diperkukuh melalui Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025.
Program yang berlangsung dari 11 hingga 14 Februari ini dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai tuan rumah.
Program tersebut menghimpunkan pihak berkepentingan utama termasuk JKR Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Program tersebut menyaksikan seramai 140 peserta daripada pelbagai agensi terlibat dalam perbincangan berkaitan kemajuan projek, hala tuju pengurusan, inovasi dalam pembinaan, serta teknologi terkini dalam sektor ini.
Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, program tersebut penting untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan negara lebih cekap dan berkesan.
“Kolaborasi antara agensi kerajaan dan pemanfaatan teknologi moden memainkan peranan utama dalam memastikan pembangunan infrastruktur yang mampan dan berdaya saing.
“Melalui program ini, kita dapat menyelaraskan hala tuju serta berkongsi kepakaran bagi meningkatkan kecekapan pengurusan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnaka perasmian Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025, di sini, hari ini.
Dalam sesi taklimat program, para peserta turut berbincang mengenai isu-isu kritikal dalam pengurusan infrastruktur, termasuk kaedah pembinaan inovatif dan penggunaan teknologi pintar untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan kerja.
JKR Sarawak selaku tuan rumah menyatakan komitmen untuk memastikan perkongsian maklumat dan kepakaran dapat memberi manfaat kepada pembangunan infrastruktur bukan sahaja bagi peringkat negeri Sarawak bahkan untuk seluruh Malaysia.
Menurut JKR Sarawak, kerjasama erat antara agensi amat penting dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mencapai standard yang ditetapkan.
“Program ini membuka ruang untuk kami bertukar pandangan serta mencari penyelesaian terbaik dalam pengurusan infrastruktur negara,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Program tersebut dijangka dapat memberi impak positif dalam meningkatkan kecekapan projek pembangunan infrastruktur negara, sejajar dengan matlamat Malaysia Madani untuk kesejahteraan rakyat.
Oleh Masrin Affirah