Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • KKR akan bentang laporan PCA, permudah kerja penyelenggaraan JRTB
  • SEMASA

KKR akan bentang laporan PCA, permudah kerja penyelenggaraan JRTB

Utusan Sarawak 2 days ago
MENTERI Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap kepada media selepas meninjau lokasi kemalangan di KM 53, Jalan Raya Timur Barat (JRTB ) hari ini. Pada awal pagi Isnin lepas (9 Jun), 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di JRTB. Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza. Foto BERNAMA

GERIK:  Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menyediakan laporan mengenai Kerja Penilaian Keadaan Turapan (PCA) yang bertujuan memudahkan kerja-kerja penyelenggaraan serta penurapan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata PCA yang dilaksanakan melibatkan penggunaan teknologi seperti Multi Laser Profiler (MLP) dan Falling Weight Deflectometer (FWD).

“PCA telah bermula pada 13 Mac dan selesai pada 13 Mei. Kita buat (PCA) mengikut kaedah terkini, moden dan terpakai di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun segala kemudahan atau kaedah yang diguna pakai ini bergantung kepada peruntukan yang diberikan khususnya dalam membina serta membaiki jalan raya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM 53, JRTB di sini hari ini.

Pada 9 Jun lepas, Nanta dalam kenyataan memaklumkan lokasi kemalangan itu adalah antara seksyen di JRTB yang telah dikenal pasti bagi kerja naik taraf tahun ini dengan peruntukan RM55 juta.

Beliau berkata pelbagai inisiatif juga telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik laluan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT04 itu.

Sementara itu, Nanta berkata dana berjumlah RM80 juta turut diperuntukkan meliputi 55 skop kerja di bawah Program Penyenggaraan Berkala Pavemen yang bertujuan memastikan laluan di JRTB berada dalam keadaan baik.

“Kelulusan Arahan Kerja (AK) akan dikeluarkan apabila skop kerja disenaraikan berdasarkan cadangan daripada laporan PCA yang akan disediakan nanti,” katanya.

Beliau berkata sebanyak RM3.58 juta diperuntukkan bagi Program Penyenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat melibatkan penyelengaraan lampu isyarat serta pemasangan lampu solar di sepanjang JRTB yang akan bermula Julai ini.

Nanta berkata pemasangan lampu solar itu nanti turut akan melibatkan lokasi tragedi nahas bas berkenaan yang berlaku pada 9 Jun.

“Kerja-kerja ini sedang dalam proses perolehan oleh JKR Perak dan dijangka siap pada penghujung Oktober tahun ini,” katanya.

Beliau berkata KKR memberi jaminan semua peruntukan yang disediakan itu akan digunakan sebaiknya dalam memastikan kerja-kerja penyelenggaraan di JRTB dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.– Bernama

Continue Reading

Previous: SST: Permintaan hartanah perindustrian bantu kurangkan impak sektor hartanah
Next: Wanita PKR gesa tindakan tegas lindungi kanak-kanak daripada pengantunan seksual

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.