PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam menerima sumbangan pelbagai keperluan petugas barisan hadapan menangani jangkitan COVID-19 yang bernilai lebih RM1.4 juta daripada 10 syarikat.
Sumbangan untuk kegunaan petugas barisan hadapan di fasiliti KKM di seluruh negara itu diserahkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di KKM di sini, semalam.
Mendahului senarai penyumbang ialah Yayasan MyPrihatin yang menyerahkan 50,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM1 juta.
Sumbangan MyPrihatin disampaikan kepada Dr Adham oleh Pengerusinya, Prof Datuk Dr Halimaton Hamdan.
Yayasan MyPrihatin dalam kenyataannya berkata, 50,000 set PPE itu dihasilkan dengan kerjasama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amal PruBSN Prihatin.
“Set PPE ini akan diagihkan kepada 2,000 hospital dan klinik kesihatan terutamanya di kawasan zon merah di seluruh negara,” kata MyPrihatin lagi.
Turut memberikan sumbangan ialah Healthy Lifestyle Sdn Bhd (Ogawa Malaysia) yang menyumbang 20 unit kerusi urut, 30 unit pembersih udara dan 1,200 unit pelitup separuh muka KN95.
Sumbangan Ogawa Malaysia yang keseluruhannya bernilai RM249,450 disampaikan oleh Pengurus Jualan Serantaunya, Leong Boon Hong.
Gunung Capital Berhad yang diwakili Pengarah Pelaburan dan Kewangannya, Khairul Anwar Mohamad menyumbang 2,000 unit pelitup separuh muka, bekalan makanan serta peralatan sokongan perlindungan kesihatan bernilai RM100,000.
Scientex Berhad dan Persatuan Pengilang Plastik Malaysia menyumbang 30,000 unit pelitup separuh muka tiga lapis bernilai RM45,000.
UMW Holdings Berhad pula menyumbang 5,000 unit pelindung muka bernilai RM20,000.
Persatuan Agama Buddha Tentrayana Chen Foh Chong Malaysia menyumbang 10,000 set PPE.
Briged Negaraku menyumbang 5,000 unit PPE, 20,000 pelindung muka, 500 tudung kepala, 500 set gaun dan 500 pasang sarung kaki.
MyFundaction dan Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) menyumbang 2,000 set PPE dan 2,000 keping pelitup separuh muka.
Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad pula menaja 150 bilik penginapan dan makan minum percuma di Hotel Carlton Shah Alam kepada petugas kesihatan.
Yayasan Restu menyumbang 2,000 naskah Al-Quran untuk petugas barisan hadapan KKM. – Bernama