
GEDONG: Kementerian Kesihatan (KKM) komited menoktahkan sepenuhnya penggunaan rekod manual dan sistem berasaskan kertas dalam perkhidmatan kesihatan negara selaras dengan agenda reformasi kesihatan digital kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, kesihatan digital kini bukan lagi sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi teras kepada pembaharuan sistem kesihatan menerusi visi ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’ yang dipacu oleh Platform Kebolehoperasian Kesihatan Nasional (NHIP).
“Melalui platform ini, rekod kesihatan rakyat boleh diakses dengan selamat dan pantas tanpa mengira lokasi, sekali gus meningkatkan kesinambungan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pendigitalan Klinik Kesihatan menggunakan ‘Cloud-Based Clinic Management System (CCMS)’ serta Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Sarawak, yang berlangsung di Klinik Kesihatan Gedong, hari ini.

Dr. Dzulkefly berkata, sebagai sebahagian daripada agenda nasional itu, KKM menyasarkan peluasan CCMS ke 2,489 fasiliti kesihatan primer di seluruh negara, dengan Sarawak muncul sebagai peneraju utama pelaksanaan sistem berkenaan.
“Bermula sebagai projek rintis di lima klinik pada akhir 2023, CCMS kini telah diperluaskan ke 153 fasiliti kesihatan di Sarawak, merangkumi kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan klinik kesihatan di negeri ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pangkalan data CCMS di Sarawak telah merekodkan penyertaan sekitar 250,000 rakyat, mencerminkan tahap penerimaan dan keberkesanan ekosistem kesihatan digital yang dibangunkan.
Menurutnya, kestabilan dan kebolehskalaan sistem itu turut terbukti di peringkat nasional apabila CCMS berjaya mengendalikan puluhan ribu transaksi pendaftaran pesakit setiap hari.
Dari segi perkhidmatan, beliau berkata data awal menunjukkan peningkatan kecekapan ketara apabila tempoh menunggu pesakit dapat dipendekkan, selain mengurangkan beban tugasan manual dalam kalangan petugas kesihatan.
“Pelaksanaan CCMS membolehkan doktor dan jururawat memberi tumpuan yang lebih berkualiti kepada pesakit, di samping memperkukuh keputusan klinikal berasaskan data serta kesinambungan rawatan merentasi fasiliti kesihatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Sarawak yang memberi penekanan kepada aspek pencegahan penyakit melalui pendekatan ‘Precision Public Health’ berasaskan data.
Menurutnya, penggunaan data besar daripada CCMS membolehkan perancangan promosi gaya hidup sihat dilaksanakan secara lebih bersasar, sekali gus menyokong peralihan daripada model rawatan penyakit kepada penjagaan kesihatan menyeluruh.
Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly memaklumkan masih terdapat 117 Klinik Kesihatan dan 49 Klinik Pergigian di Sarawak yang belum melalui proses pendigitalan, dengan anggaran kos pelaksanaan sekitar RM16 juta.
Beliau yakin kerjasama erat antara KKM dan kerajaan Sarawak akan memastikan usaha pendigitalan itu dapat disempurnakan demi menjamin akses kesihatan digital yang saksama, termasuk bagi rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pada masa sama, beliau memaklumkan peruntukan tambahan berjumlah RM950,000 disalurkan kepada Klinik Kesihatan Gedong bagi menaik taraf perkhidmatan serta pembelian peralatan perubatan.
Oleh Norman B