LIMBANG: Klinik Kesihatan Nanga Medamit yang uzur dan daif di Ulu Limbang akhirnya mendapat suntikan peruntukan berjumlah RM800,000 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menterinya Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti tapak baharu iaitu di kawasan seberang sungai untuk pembinaan Klinik Kesihatan Nanga Medamit yang baharu, yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
“Kita telah diberikan peruntukan RM800,000 untuk kerja-kerja naik taraf dan kerja-kerja naik taraf dapat dilakukan walaupun demikian kita masih juga dalam siri melihat tapak-tapak berpotensi untuk mengangkat klinik Nanga Medamit ini pada Rancangan Malaysia akan datang untuk bina baharu,” katanya.
Lukanisman berkata demikian kepada media pada lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Medamit, Klinik Kesihatan Batu Danau sempena Program Jelajah Sarawak Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata lagi, sejumlah RM645,000 turut diperuntukkan untuk menaiktaraf Klinik Kesihatan Batu Danau yang berdepan masalah banjir setiap tahun selain mengenal pasti tapak tanah untuk menbangunkan Klinik Kesihatan Batu Danau baharu.
Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama wakil rakyat di kawasan Limbang untuk mendapatkan pandangan mengenai tapak cadangan yang sesuai bagi pembinaan klinik kesihatan terbabit.
Ini juga sejajar dengan objektif Program Jelajah Sarawak kementerian itu untuk melihat potensi kawasan dan tapak tanah yang bersesuaian bagi membangunkan klinik kesihatan generasi baharu.
Sementara itu, katanya, bagi Klinik Kesihatan Long Napir, pihaknya bakal menggunakan kaedah tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak swasta dan korporat untuk melaksanakan pembinaan klinik itu seperti yang dilaksanakan di Long Sukang.
Jelas Lukanisman penglibatan pihak swasta dan korporat ini penting kerana mereka mempunyai akses lebih mudah untuk pergi ke luar bandar dan mereka mempunyai pekerja dan bahan-bahan pembinaan untuk ke Long Napir.
“Klinik Kesihatan Long Napir sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-10 sebelum ini, namun gagal dilaksanakan dan kontraktor yang dilantik untuk membina klinik tersebut sudah ditamatkan,” ujarnya lagi.
Oleh Adeng Edrus