KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha untuk memperluas pusat rawatan kanser di seluruh negara bagi memastikan akses yang saksama kepada rawatan kanser berkualiti tinggi dan penjagaan untuk pesakit barah.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, kebanyakan pusat rawatan kanser terletak di bandar-bandar utama terutamanya di Lembah Klang, yang menyebabkan pesakit kanser dari pekan kecil melakukan perjalanan jauh untuk menerima rawatan.
“Ramai antara pesakit kanser perlu bertumpu (rawatan) khususnya di Kuala Lumpur, kita juga sedang melihat jangka masa panjang untuk melihat melalui pengezonan kalau ada rezeki dan rancangan jika diperlukan pusat rawatan kanser di zon utara, timur, Sabah dan Sarawak, itu ialah pelan jangka panjangnya.
“Kalau kita lihat dari segi kos efektif ialah membina pusat rawatan kanser yang berhampiran dengan pesakit, itu yang saya lihat, kalau kita buat mengikut zon ia lebih sesuai untuk kita laksanakan,” katanya selepas merasmikan “Against all odds – A Tribute” di sini, hari ini.
Beliau berkata kementerian maklum dengan keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan fasiliti penjagaan kesihatan khususnya dalam bidang onkologi, termasuk melabur dalam teknologi maju, melatih profesional penjagaan kesihatan dan memperluas pusat rawatan kanser untuk menampung permintaan yang semakin meningkat.
“Saya perlu tekankan bahawa menangani cabaran kanser yang kompleks memerlukan usaha kolektif. Kita perlukan penyertaan aktif profesional penjagaan kesihatan, masyarakat awam, sektor swasta dan individu itu sendiri untuk mewujudkan respons yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada semua bekas pesakit kanser serta penghargaannya terhadap semua profesional penjagaan kesihatan atas usaha gigih dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk kesejahteraan pesakit kanser.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan kerajaan tentang penemuan lebih 43,000 pelajar sekolah didapati merokok, beliau berkata Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan dibentangkan di Parlimen minggu depan, sebagai langkah pencegahan mengawal budaya merokok.
“Kita akan bentangkan rang undang-undang berkenaan pada sesi Parlimen minggu depan di samping kerjasama antara agensi, kementerian dan pihak swasta (dalam membendung budaya merokok),” katanya.
Dr Zaliha berkata Kertas Putih Kesihatan juga akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun ini. – Bernama