PUTRAJAYA: Walaupun tumpuan negara ketika ini adalah untuk menangani pandemik Covid-19, namun peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2021 bagi perbelanjaan lain terutamanya, penyakit tidak berjangkit (NCD) masih diberi keutamaan oleh kerajaan demi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.
Ketua Setiausaha KKM Datuk Seri Dr.Chen Chaw Min berkata, dalam belanjawan itu, rawatan untuk NCD tidak pernah diabaikan malah masih diteruskan dan peruntukan untuk tujuan tersebut juga tidak dikurangkan.
Perkara itu selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lepas dengan peruntukan sebanyak RM19 juta,katanya, pada sesi taklimat media berkenaan Belanjawan 2021 di sini, semalam.
Agenda Nasional Malaysia Sihat bertujuan memantapkan amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko menghidapi penyakit diabetes, hipertensi dan obesiti.
Beliau berkata, tafsiran beberapa pihak yang mengatakan berlaku pengurangan sebanyak 2.57 peratus dalam peruntukan mengurus kepada RM27.22 bilion untuk 2021 berbanding RM27.94 bilion pada tahun sebelumnya adalah kurang tepat.
“Ini adalah strategi belanjawan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan dengan memindahkan beberapa butiran daripada perbelanjaan pengurusan kepada perbelanjaan pembangunan. Beberapa butiran itu berkait dengan pembiayaan projek jangka panjang,” katanya.
Bagi Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan berjumlah RM31.94 bilion melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM27.22 bilion dan RM4.72 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, berbanding RM30.6 bilion bagi peruntukan 2020 yang RM27.94 bilion daripadanya untuk perbelanjaan mengurus dan RM2.66 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
“Ia merupakan strategi dan penambahbaikan dalam belanjawan yang baru.
Ini membolehkan KKM mengawal dan memantau peruntukan dan perbelanjaan secara menyeluruh dan lebih efisien bagi semua kemudahan kesihatan KKM,” katanya.
Menurut Chen, KKM sejak dahulu lagi merupakan antara kementerian yang menerima peruntukan tertinggi selepas Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan.
Beliau berkata, setiap tahun peruntukan yang diberi kepada KKM terus meningkat iaitu daripada RM15.35 bilion pada 2010 kepada RM30.6 bilion pada 2020, peningkatan sebanyak RM15 bilion dalam tempoh 10 tahun.
“Sudah tentu kita ada senarai harapan untuk mendapatkan lebih banyak (peruntukan),tetapi kita perlu memahami keadaan ekonomi secara keseluruhan. Bagi kami,kami melihat kenaikan tahunan secara beransur-ansur dalam belanjawan kami dan sangat gembira mengenai perkara tersebut.
“Tetapi tidak kira berapa banyak kita perolehi, mesti ada cara inovasi untuk memperbaiki dan membuat perbelanjaan berhemah dalam menguruskan kementerian dengan cekap,” katanya.
Chen berkata, kementerian telah membuat banyak inovasi seperti daripada membeli peralatan baharu, KKM akan menyewa atau memajak untuk memilikinya, membuat tender terbuka untuk mendapatkan harga terbaik dan melakukan perolehan kumpulan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertahanan.
“Ini semua penjimatan yang telah kita buat dan dengan penjimatan itu kita dapat memperuntukkan lebihannya untuk aktiviti lain,” tambahnya.
Pada masa sama, katanya, inisiatif kesihatan tidak hanya terletak di bawah KKM malah juga membabitkan kementerian lain seperti inisiatif pengurangan cukai bagi perbelanjaan perubatan dan MySalam di bawah Kementerian Kewangan, program saringan kanser serviks dan insentif subsidi ujian mamogram di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat serta pembinaan taska buat petugas barisan hadapan.
KKM juga telah membuat permohonan kepada kerajaan bagi pembinaan Hospital Penyakit Berjangkit yang telah dimasukkan di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU),kata beliau.– Bernama