
KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Pakej Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan (HePiLI) secara berperingkat di semua sekolah seluruh negara bermula Jun ini.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini bermakna pakej program berkenaan tidak lagi terhad kepada sekolah yang mempunyai Kelab Doktor Muda sahaja.
“Saya merasakan program ini membuktikan bahawa budaya hidup sihat boleh dipupuk sedari kecil dengan pendekatan yang mesra, dekat di hati dan memberi kesan yang berkekalan, bak kata pepatah ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi and Friends Zon Pantai Timur serta Pelancaran Pakej Program HePiLI di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata program Kembara HePiLI bersama Didi and Friends merupakan pendekatan yang menggabungkan pendidikan kesihatan dan hiburan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
“Populariti Didi and Friends dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej kesihatan secara mesra, mudah difahami dan diingati.
“Antara pencapaian utama program ini termasuk penerbitan tujuh video animasi kesihatan yang berjaya meraih lebih 28 juta tontonan di YouTube, dengan dua video paling popular masing-masing melebihi 10 juta tontonan,” katanya.
Dzulkefly berkata aktiviti lapangan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 135,000 kanak-kanak termasuk murid dan guru di sekolah.
“Ini membuktikan bahawa kartun dan lagu ceria bukan sekadar hiburan tetapi juga medium pendidikan berkesan yang membina kesedaran, mencetuskan minat dan mendorong keinginan selari dengan prinsip pendidikan kesihatan bukan sekadar tahu tetapi bertindak.
“Setakat ini, lebih 10,000 prasekolah, tabika, sekolah rendah dan menengah telah melaksanakan Program Tunas Doktor Muda dan Kelab Doktor Muda manakala lebih 80 Institusi Pengajian Tinggi telah melaksanakan Program Siswa Sihat. Kesemuanya menggunakan pendekatan pembimbing rakan sebaya untuk memupuk budaya hidup sihat dari peringkat akar umbi,” katanya.
-Bernama