




SERDANG: Kementerian Kesihatan (KKM) mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan implantasi pertama Left Ventricular Assist Device (LVAD) dalam sistem kesihatan awam negara di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), di sini pada 10 Disember lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan itu yang pertama dalam fasiliti KKM, melibatkan peranti HeartMate 3, dan dilaksanakan oleh pasukan klinikal multidisiplin tempatan.
Beliau berkata prosedur itu dijalankan ke atas seorang pesakit lelaki berusia 57 tahun yang menghidap kegagalan jantung tahap akhir.
“Pesakit yang dipilih ialah pesakit yang benar-benar memerlukan peranti ini untuk menyelamatkan nyawanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dzulkefly berkata pembedahan berkenaan mengambil masa kira-kira lima jam dan berjalan lancar tanpa komplikasi dengan pesakit itu berjaya dihentikan daripada semua sokongan inotropik dan sedang menjalani fisioterapi.
Beliau berkata harga peranti terbabit mencecah kira-kira RM680,000, manakala keseluruhan prosedur kira-kira RM800,000.
“Walaupun ia mahal … LVAD ini satu yang masih lagi dianggap oleh komuniti kardiologi sebagai satu prosedur paling cost effectiveness (keberkesanan kos),” katanya.
Namun, Dzulkefly berkata keputusan sama ada penggunaan LVAD akan diperluaskan sebagai dasar bergantung kepada hasil analisis berkenaan serta kualiti hidup pesakit selepas prosedur.
“Sama ada ia menjadi polisi atau tidak … tergantung kepada penentuan analisis kos faedah dan juga paling penting ialah kualiti life post-procedure,” katanya.
Mengulas mengenai prosedur yang berjaya dilaksanakan itu, Pakar Jantung Dr K. Sethujanatran berkata pesakit dipilih kerana beliau berada pada tahap kegagalan jantung paling kritikal selepas semua rawatan lain hampir gagal.
“Pesakit sudah pada tahap akhir… semua rawatan lain dah hampir gagal,” katanya sambil menambah pesakit itu dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) selama hampir tiga bulan sebelum dipilih menjalani implantasi. – Bernama