Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • KKM garis empat lonjakan utama reformasi sistem kesihatan
  • KESIHATAN

KKM garis empat lonjakan utama reformasi sistem kesihatan

Utusan Sarawak 2 days ago
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan dan Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Kesihatan hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tahun ini sebagai fasa pelaksanaan reformasi menyeluruh sistem kesihatan negara, dengan penekanan kepada perubahan struktur yang tuntas bagi memastikan perkhidmatan kesihatan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selaras dengan tema Amanat Tahun Baharu 2026 iaitu “Memodenkan Sistem Kesihatan, Melonjakkan Mutu Perkhidmatan”, empat lonjakan utama telah digariskan sebagai panduan gerak kerja KKM sepanjang tahun ini.

Lonjakan itu ialah pendigitalan menyeluruh, reformasi pembiayaan, modal insan dan kebajikan serta kesihatan awam dan etika.

“Jika tahun-tahun sebelum ini adalah mengenai ‘mendiagnosis’ dan merancang, 2026 adalah tahun untuk kita melaksana.

“Kita tidak boleh lagi bergerak secara berperingkat atau sedikit demi sedikit… masanya telah tiba untuk perubahan struktur yang tuntas bagi memastikan sistem kesihatan kita benar-benar bersedia dan berfokus untuk menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya kepada media selepas majlis amanat berkenaan di sini hari ini.

Di bawah lonjakan pendigitalan menyeluruh, Dzulkefly berkata KKM mahu memperluas sistem pendigitalan kesihatan meliputi Total Hospital Information System (THIS) ke 16 hospital; Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) ke 2,489 fasiliti kesihatan primer; dan Dental Information System ke 157 klinik pergigian. 

Beliau berkata KKM juga akan mengoperasikan papan pemuka berpusat untuk memantau fasiliti secara masa nyata menerusi Menara Kawalan (Integrated Dashboard), serta memulakan langkah ke arah pewujudan National Health Interoperability Platform (NHIP), sebagai visi jangka panjang untuk memastikan rakyat mempunyai fail kesihatan bersepadu secara dalam talian.

Di bawah lonjakan reformasi pembiayaan, Dzulkefly berkata KKM akan memperkukuh mekanisme pembayaran berasaskan Diagnosis-Related Group (DRG), dalam usaha menyeragamkan kos rawatan dan mengelakkan ketirisan.

Beliau berkata kerangka RESET turut akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan serta penyedia insurans dan takaful bagi menstruktur semula insurans dan takaful kesihatan yang lebih adil, termasuk pelaksanaan ciri pembayaran bersama bagi mengawal kenaikan premium.

Lonjakan modal insan dan kebajikan pula menyaksikan pihaknya menyasarkan lantikan tetap baharu melibatkan 4,500 pegawai perubatan dan 935 jururawat, serta pengoperasian Papan Pemuka Sumber Manusia Bersepadu yang mampu memberikan gambaran menyeluruh dan jelas berhubung tenaga kerja di seluruh fasiliti KKM. 

Lonjakan kesihatan awam dan etika pula menyaksikan anjakan paradigma yang radikal, daripada Sick-Care kepada Health-Care.

Dzulkefly berkata Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan (BPP) akan distruktur semula untuk meningkatkan kadar pendermaan organ yang masih rendah serta menyokong kempen “Warisku, Hormati Ikrarku”.

“Kita dalam usaha untuk menubuhkan Majlis Transplan Kebangsaan yang mempunyai punca kuasa untuk mendapatkan data dan menguruskan sumber dengan lebih baik. 

“Semakan polisi dan perundangan semasa terutamanya untuk Akta Tisu Manusia 1974 akan dilaksanakan bersekali,” katanya.

Dzulkelfly berkata Malaysia akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026, Ogos ini di Kuala Lumpur.- Bernama

Continue Reading

Previous: Bekalan darah Hospital Sibu kritikal, penderma O positif diperlukan
Next: Petronas salur RM1.3 juta bekal peralatan kepada 26 klinik kesihatan luar bandar Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.