KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memberikan tumpuan khusus kepada klinik-klinik daif bukan hanya di Sarawak malah di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya bertekad untuk menyelesaikan beberapa keperluan asas terutama kerosakan-kerosakan kecil di klinik terbabit.
“Kami sedang memberi perhatian sebagai siri lawatan ke klinik-klinik kesihatan untuk memastikan permohonan KKM mendapatkan peruntukkan khusus pembaikan klinik-klinik di seluruh Sarawak tidak kira kategori daif atau klinik-klinik yang berfungsi tetapi memerlukan aset-aset bagi memudahkan proses rawatan.
“Kita juga berharap agar pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan dapat memberikan tumpuan khusus bukan hanya di Sarawak tetapi juga seluruh negara.
“Sudah tentu kita akan memberikan fokus memandangkan klinik-klinik yang rosak dan telah usang sememangnya banyak terletak di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan rasmi untuk meninjau keadaan fasiliti di Klinik Kesihatan (KK) Bako di sini, hari ini.
Tambah Lukanisman, KKM juga mempunyai perancangan dalam mengenal pasti tapak-tapak tanah yang bersesuaian untuk dibangunkan.
“Proses ini perlu melalui proses Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan ketika ini kami dalam fasa pemetaan tanah untuk mengenal pasti potensi-potensi tapak-tapak tanah untuk dibangunkan.
“Kita juga mempunyai pelan penambahbaikan untuk klinik-klinik kesihatan dalam berdepan kekurangan doktor pakar untuk merawat pesakit dengan membangunkan hospital yang sedia ada sebagai hospital kedua berstatus negeri seperti Hospital Umum Sarawak (HUS).
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa KKM akan melancarkan satu kertas putih berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkenaan penurunan kuasa, penggunaan bajet yang diturunkan oleh persekutuan, dan kita inginkan dasar yang membolehkan kerajaan negeri memilih dan menentukan berapakah keperluan klinik, pembangunan dan staf yang kita dapat tentutkan sendiri.
“Itulah kuasa yang kita inginkan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita juga kena sedar bahawa bajet kesihatan awam di Malaysia kecil berbanding bajet-bajet yang lain yang mana kita perlu mencapai lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) dan ketika ini kita hanya mencapai 2.5 peratus ke 2.6 peratus sahaja.
“Sudah pasti komponen kertas putih ini adalah kerjasama antara swasta dan awam berkenaan tentang penyediaan perkhidmatan bagi mengurangkan kesesakan di dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Jelasnya, setakat ini belum ada jumlah klinik kesihatan yang akan dibina di Sarawak kerana kertas putih yang akan dibentangkan di Parlimen hanya membentangkan dasar dan polisi baru KKM yang mana akan menyediakan satu format dan formula apakah bentuk kewangan yang membolehkan Sarawak membina banyak klinik serta menambah baik perkhidmatan dalam tempoh 15 tahun selepas kertas putih dijalankan.
Sehubungan itu, beliau berkata, KKM akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi mendapatkan perkhidmatan talian Internet berasaskan satelit untuk kegunaan klinik kesihatan di kawasan luar bandar.
“Talian Internet itu penting kepada petugas kesihatan dalam menyampaikan perkhidmatan secara maya atau talian video bagi membuat diagnosis terhadap pesakit.
“KKM telah terima kertas kerja daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri, kita lihat perkhidmatan talian Internet berasaskan satelit perlu disediakan di klinik kawasan luar bandar.
“Kami akan mengadakan perbincangan dengan KKD bagi membantu KKM menyediakan perkhidmatan ini di klinik kesihatan.
Dalam lawatan tersebut, Lukanisman yang turut disertai Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni turut memberikan taklimat kepada kakitangan-kakitangan KK Bako.
Sejurus selepas itu, Lukanisman dijadualkan melawat serta meninjau Klinik Kesihatan Pantai Damai di Bandar Baru Samariang.
Oleh NICKELYSON LAKUN