PETRA JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus menumpukan usaha memperkasa sektor tekno usahawan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Ahmad Hamidi berkata KKDW akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memastikan usahawan yang dilatih dalam program Hi-TVET ini mendapat sokongan dari segi pembiayaan dan penyeliaan yang berterusan.
“Kita akan memastikan usahawan-usahawan kecil, sederhana dan mikro ini bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga mendapat bantuan kewangan dari institusi-institusi kewangan yang terlibat.
“Ini penting bagi memastikan perniagaan mereka dapat diperluaskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Juma’ani Pavilion, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga melahirkan keyakinannya terhadap potensi program Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Berteknologi Tinggi (Hi-TVET) dalam memperkasakan sektor keusahawanan teknologi di Malaysia.
Katanya, program ini mampu melahirkan lebih ramai tekno usahawan yang kompeten, terutamanya dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.
Dalam siri lawatannya ke beberapa institusi TVET di Sarawak, termasuk Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak(CENTEXS) di Lundu dan Juma’ani Pavilion, Zahid memuji pencapaian yang dicapai dalam pelbagai bidang teknikal, termasuk bidang elektronik, mekanikal dan kerja tangan halus.
“Saya sangat terpegun dengan hasil kerja yang dilakukan oleh CENTEXS dalam bidang HI-TVET, terutama sekali seni kraf yang dihasilkan dengan kemahiran tinggi.
“Saya yakin produk-produk ini boleh dikomersialkan dan diedarkan di pasaran yang lebih luas,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT